Covid-19 ratakan keluk keganasan, kata pegawai kanan Cawangan Khas


Alfian Z.M. Tahir

PANDEMIK Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan mempunyai hikmah yang tersembunyi kerana ia menyukarkan pengganas yang berpotensi untuk melancarkan serangan, kata Azman Omar. 

Penolong pengarah Cawangan Khas Bahagian Counter Terrorism berkata penularan virus itu juga merupakan cabaran kepada anggotanya berikutan kesukaran untuk mendapatkan maklumat risikon susulan risiko kesihatan.

“Pada saya ia mempunyai hikmah yang tersembunyi. Sempadan ditutup, pergerakan disekat dan sukar untuk sesiapa merancang keganasan bagaimanapun ia juga sukar untuk kita beroperasi. 

“Kita perlu berwaspada dengan virus. Saya tidak boleh dedahkan anggota saya dan risiko kesihatan adalah serius. Namun demikian ia meratakan keluk keganasan dan setakat ini tiada petunjuk akan ada sebarang ancaman.”

“Kita masih meneruskan pemantauan setiap hari,” kata Azman pada forum mengenai ancaman radikalisme dan ekstremisme ketika pandemik. 

Forum itu dianjurkan oleh Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia.

Malaysia dilanda wabak Covid-19 pada 2020 dan pada Mac, seluruh negara dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP). 

Pergerakan disekat manakala sektor perniagaan terjejas teruk susulan perintah berkenaan. 

Terdahulu, Azman berkata unitnya menahan tujuh individu pada 2020 kerana disyaki terbabit dalam aktiviti keganasan. 

“Berbanding tahun 2018 dan 2019, tahun lalu merekodkan penahanan terendah dengan tujuh individu sahaja. 

“Kami berjaya menghalangnya melakukan jenayah itu pada Januari 2020 beberapa bulan sebelum negara dikenakan perintah sekatan.

“Walaupun situasi terkawal, polis masih meneruskan pemantauan setiap hari,” kata Azman. – 25 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen