Pulau Pinang pertimbang tindakan undang-undang jika Kedah sekat bekalan air, kata Chow 


Ravin Palanisamy

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata sebarang projek yang dijalankan Kedah melibatkan Sungai Muda, di hulu muka sauk Lahar Tiang di Pulau Pinang mesti mematuhi perundangan dan peraturan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mac, 2021.

KERAJAAN Pulau Pinang akan mengambil tindakan termasuk tindakan undang-undang untk menghentikan sebarang projek oleh kerajaan negeri Kedah yang mengancam bekalan air di negeri itu, kata Chow Kon Yeow. 

Ketua menteri Pulau Pinang berkata sebarang projek yang dijalankan oleh Kedah melibatkan Sungai Muda, di hulu muka sauk Lahar Tiang di Pulau Pinang, mesti mematuhi perundangan dan peraturan. 

“Sekiranya Menteri Besar Kedah (Muhammad Sanusi Md Nor) ini berpendapat bahawa beliau sewenang-wenangnya dapat melaksanakan projek di Kedah yang secara langsung mengancam bekalan air di Pulau Pinang, beliau silap.

“Sekiranya projek beliau memberi kesan buruk kepada Pulau Pinang, kita akan bertindak segera untuk menghentikannya serta-merta,” kata Chow dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Tanjong berkata pilihan mereka untuk menghentikan projek yang merugikan termasuk mengemukakan bantahan rasmi kepada Kerajaan Persekutuan; mengusulkan bantahan untuk dibahaskan di Parlimen; dan/atau mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan injunksi mahkamah untuk menghentikan projek itu. 

Kenyataan terkini Chow itu adalah susulan daripada pertikaian antara kedua-dua kerajaan negeri berhubung bekalan air dari Sungai Muda. 

Semalam, Sanusi berkata 14 tangki air akan dibina di sepanjang Sungai Muda bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk rakyat Kedah dan penanam padi di sepanjang sungai. 

Kira-kira 80% bekalan air Pulau Pinang adalah daripada sungai berkenaan yang mengalir di dalam kawasan Pulau Pinang. 

Chow berkata projek berkenaan mungkin menjejaskan bekalan air kepada 1.776 juta penduduk di negeri itu.

Chow juga berkata Pulau Pinang mendapatkan bekalan air mentah dari Sungai Muda sejak 1973 tanpa sebarang bayaran kepada Kedah, dan mereka akan terus berbuat demikian. 

Beliau berkata tiada sebarang kontrak atau memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara kedua-dua negeri untuk Pulau Pinang membayar kepada Kedah bagi mendapatkan bekalan air.

“Secara ringkasnya, Kedah tidak boleh menjalankan projek yang melibatkan Ulu Muda yang tidak sah atau tidak dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan. 

“Disokong oleh undang-undang, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus melindungi kepentingan Pulau Pinang, berkenaan dengan jaminan bekalan air. 

“Oleh itu, mengenai Sungai Muda, kita akan terus menegakkan hak riparian Pulau Pinang untuk mengabstrak air mentah, tanpa caj, dari sungai yang mengalir melalui wilayah negeri kita,” katanya.– 25 Mac, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen