TARIKH pilihan raya umum di Thailand yang ditunggu-tunggu hanya akan diumumkan selepas kerajaan siap menggubal semua undang-undang berkaitan pilihan raya.
Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha memberitahu pemberita hari ini bahawa tarikh pilihan raya perlu mengikut pelan tindakan seperti digariskan oleh kerajaan.
“Ia bergantung kepada undang-undang (berkaitan pilihan raya), tarikh pilihan raya akan diumumkan selepas penggubalan semua undang-undang berkaitan siap,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan kabinet di Bangkok.
Beliau diminta mengulas kebimbangan yang disuarakan oleh pihak-pihak tertentu di negara itu bahawa pilihan raya umum tidak akan diadakan pada November seperti diumumkan oleh Prayut lewat tahun lepas.
Perdana menteri Thailand itu dipetik sebagai berkata bahawa pilihan raya umum itu yang menandakan Thailand kembali ke sistem demokrasi, akan diadakan pada November tahun ini.
Junta tentera yang diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera ketika itu Jen Prayut mengambil alih kuasa pada Mei 2014 dalam rampasan kuasa yang menggulingkan pemerintahan awam yang dipimpin oleh bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.
Berikutan rampasan kuasa itu, pihak tentera mengambil langkah menghalang semua aktiviti politik di negara itu.
Sementara itu, timbalan beliau merangkap Menteri Pertahanan Jen Prawit Wongsuwan mengulangi komen Prayut apabila ditanya mengenai perkara itu hari ini dan berkata tiada apa yang berubah berhubung tarikh pilihan raya di negara itu.
Beliau berkata semuanya perlu mengikut pelan tindakan.
Mengenai keberadaan Yingluck berikutan tersebarnya gambar yang memaparkan seorang wanita yang wajahnya menyerupai Yingluck di London baru-baru ini, Prayut berkata beliau tidak tahu mengenai perkara itu dan pihak berkuasa sedang menyiasat. – Bernama, 3 Januari, 2018.
Komen