Helikopter terhempas, 5 individu selamat 


Kalidevi Mogan Kumarappa

Helikopter jenis Airbus H125 terhempas di dalam kawasan Lapangan Terbang Subang pagi tadi.– Gambar JBPM, 24 Mac, 2021.

DUA cedera termasuk pembantu juruterbang dan tiga lagi terselamat selepas sebuah helikopter terhempas berhampiran hangar Airbus di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 9.47 pagi.

“Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik dengan lima pegawai dan anggota bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi terdapat lima mangsa dalam keadaan stabil dan helikopter berkenaan tidak mengalami kebakaran,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Menurutnya, seorang mangsa patah kaki kanan dan seorang lagi cedera ringan di kaki, manakala tiga lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Semua mangsa menerima rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

“Punca kejadian masih dalam siasatan,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal mengesahkan kejadian itu.

“Saya hanya boleh sahkan ada helikopter terhempas di Bay 17 pada jam 0918 pagi. Kesemuanya lima penumpang dan mereka telah dibawa ke hospital untuk rawatan. 

“Pihak Biro Siasatan Kemalangan Udara (MOT) sedang menyiasat punca kemalangan,” katanya. – 24 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen