Pakar kesihatan saran guna ujian antigen Covid-19 untuk inisiatif Safe@Work


Bernard Saw

RTK-Ag lebih murah dan boleh dilakukan seberapa kali diperlukan terhadap pekerja yang menjadi kontak rapat kes positif untuk menjayakan inisiatif Safe@Work. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2021.

UJIAN kit pantas antigen (RTK-Ag) perlu digunakan dalam inisiatif Safe@Work kerajaan bagi mewujudkan “gelembung” kerja di syarikat yang mempunyai kes jangkitan Covid-19, kata pakar kesihatan.

Bergantung kepada ujian Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) untuk memastikan pekerja bebas daripada jangkitan memerlukan masa, sedangkan ujian RTK-Ag dapat dilakukan terhadap pekerja yang menjadi kontak rapat kes positif seberapa kali diperlukan.

Inisiatif untuk mewujudkan gelembung kerja yang selamat bertujuan untuk membolehkan pekerja di sektor pembuatan terus bekerja selepas terdapat kes Covid-19 dikesan.

Kontak rapat hendaklah diletakkan di tempat penginapan berasingan daripada pekerja lain selama tujuh hingga 10 hari, tetapi tetap dibenarkan bekerja supaya operasi dan produktiviti tidak terjejas.

Profesor Dr Sazaly Abu Bakar, pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika di Universiti Malaya berkata ujian RTK-Ag berguna dalam situasi seperti itu.

“RTK-Ag boleh digunakan untuk pemeriksaan untuk mengetahui apakah kontak rapat dijangkiti virus (dan memiliki antibodi),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Inisiatif Safe@Work diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 17 Mac.

Dalam protokol oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), hanya ujian RT-PCR disebut bagi kontak rapat dengan kes positif Covid-19. 

Ujian yang memerlukan sekurang-kurangnya dua hari untuk keputusannya diketahui itu, hanya boleh dilakukan oleh pejabat daerah kesihatan atau klinik swasta yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan.

Pekerja yang diasingkan di tempat tinggal berlainan tidak boleh meninggalkan tempat itu sehingga disahkan negatif sebanyak dua kali ujian RT-PCR.

Majikan juga perlu menanggung kos sepenuhnya, walaupun mereka layak untuk pemotongan cukai secara intensif.

“Harga ujian RT-PCR lebih dua kali ganda berbanding ujian RTK-Ag. Beberapa reagen pengesanan antigen mempunyai kepekaan tinggi,” kata Sazaly.

Ujian RTK-Ag juga sesuai dan lebih murah, jika Miti mahu sistem mengesan kontak rapat dengan berkesan, tambahnya.

“Bahkan pemeriksaan antigen di tempat kerja dan juga tempat tinggal juga boleh dibuat, kerana lebih murah dan tidak memerlukan penggunaan kakitangan baris hadapan daripada Kementerian Kesihatan atau membayar doktor.

“Ini berbeza jika semua kontak rapat menjalani ujian RT-PCR, kerajaan boleh meminta majikan mengatur beberapa RTK-Antigen dalam tujuh hingga 10 hari.

“Hanya mereka yang diuji positif antigen akan disuruh menjalani ujian RT-PCR untuk pengesahan lebih lanjut. Ini dapat mengurangkan kos dan beban bagi personel barisan hadapan,” kata Sazaly.

Di bawah protokol Safe@Work, syarikat pembuatan juga diminta melantik Pasukan Respons Persediaan dan Kecemasan (PERT) untuk memastikan syarikat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara, bagi menyelaraskan langkah pencegahan pandemik Covid-19 di tempat kerja, serta untuk melaksanakan sepenuhnya pelan Safe@Work.

Mengikut garis panduan, PERT mesti segera melaporkan identiti kontak rapat ke pejabat daerah kesihatan terdekat dan mengatur agar mereka menjalani pemeriksaan RT-PCR.

PERT juga mesti menguruskan tempat pengasingan kontak rapat, dan mengawal ketat kemasukan dan keluar kumpulan ini.

Jika pekerja memilih untuk diasingkan di rumah, mereka tidak boleh mengambil bahagian dalam inisiatif Safe@Work dan tidak dibenarkan keluar sehingga disahkan oleh ujian RT-PCR kedua.

Pekerja yang menjadi kontak rapat juga akan diminta memakai gelang kuning, sementara kes positif mesti memakai gelang berwarna merah jambu.

Dr Christopher Lee, ketua Jawatankuasa Kajian Mortaliti Covid-19 Kebangsaan berkata gelembung kerja ini dapat membantu mengehadkan risiko jangkitan di tempat kerja.

“Jika ada jangkitan baharu, ia juga akan terbatas pada gelembung ini, dan akan menjadikan pengesanan lebih mudah dan cepat.”

Bagaimanapun konsep gelembung hanya akan berfungsi jika semua orang memainkan peranannya.

“Bekerja dalam kumpulan juga membolehkan mereka mengawasi dan memperkukuhkan rasa tanggungjawab semua anggota dengan lebih baik untuk memastikan keselamatan gelembung ini,” katanya. – 26 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen