Kerja penstabilan struktur binaan di SUKE selesai


JBPM KL berkata ketika ini kerja-kerja untuk menurunkan dua buah ‘winch’ sedang dijalankan yang dijangka akan mengambil masa selama tiga jam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Mac, 2021.

KERJA-kerja menstabilkan struktur binaan ‘U Beam’ di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Cheras selesai dilaksanakan kira-kira pukul 9.00 malam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khairul Azuwan Ibrahim berkata ketika ini kerja-kerja untuk menurunkan dua buah ‘winch’ sedang dijalankan yang dijangka akan mengambil masa selama tiga jam. 

“Sebaik kerja-kerja itu selesai, proses mengeluarkan mayat yang terhimpit akan dilakukan,” katanya dalam kenyataan malam ini. 

Semalam, tiga pekerja warga China maut manakala seorang pemandu cedera parah berikutan kejadian satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat SUKE berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras, di sini.

Tiga pekerja projek pembinaan berkenaan yang berasal dari China dikenali sebagai Ding Kunfu, Jiang Jinboa, manakala mayat Mu Tong Zheng masih terhimpit di atas rangka struktur.

Sementara itu, pemandu kereta Perodua Bezza, lelaki warga tempatan yang dilapor cedera parah akibat dihempap struktur kren semasa melalui kawasan itu, dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk rawatan lanjut. – Bernama, 23 Mac, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen