SKALA gaji bagi siswazah baharu tidak akan meningkat dalam masa terdekat walaupun pandemik Covid-19 beransur-ansur dibendung di Malaysia, kata ahli ekonomi.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight masalahnya bersifat struktural dan berkait dengan isu-isu lama yang melibatkan pertumbuhan gaji perlahan dan kekurangan peluang pekerjaan berbanding lambakan graduan, yang bermula sebelum pandemik merebak tahun lalu.
“Walaupun imuniti kelompok dari program vaksinasi dicapai dan pasaran buruh pulih, gaji siswazah baharu tidak mungkin meningkat kerana masalah struktural jangka panjang,” kata Benedict Weerasena, ahli ekonomi di institusi penyelidikan bebas Bait Al Amanah.
“Ini termasuk kekurangan pekerjaan berkemahiran tinggi yang baharu di tengah-tengah lambakan graduan.
“Oleh itu, lulusan baharu tak ada banyak pilihan, tapi untuk ambil kerja yang ada di pasaran, akan beri tekanan pada gaji dan menciptakan masalah pengangguran.”
Weerasena berkata Kajian Pasaran Buruh (LMR) terbaru oleh Jabatan Perangkaan mengetengahkan isu berlakunya ketidaksesuaian pekerjaan dan pengangguran berkaitan kemahiran di kalangan siswazah.
“Lebih banyak graduan di negara ini mengambil pekerjaan yang tidak sesuai dengan kelayakan atau bidang pengajian mereka kerana kekurangan pekerjaan mahir diburukkan lagi dengan krisis kesihatan Covid-19,” kata laporan itu.
Weerasena menekankan Malaysia masih terus bergantung kepada pekerja asing berkemahiran rendah.
“Ini menjadikan negara kita sebagai destinasi pelaburan dengan gaji rendah, padat kerja dan produktiviti rendah yang kemudiannya menekan pertumbuhan gaji keseluruhan dalam jangka panjang.”
Mohd Sedek Jantan, ketua perancangan pelaburan dan kewangan di UOB Kay Hian Wealth Advisors, berkata kenaikan gaji bergantung pada dinamika pasaran buruh.
“Ini merujuk pada perubahan pekerjaan yang terjadi serta masuk dan keluar kegiatan ekonomi yang dipengaruhi oleh pengambilan pekerja, pemisahan dan penubuhan dan penutupan kegiatan kerja sendiri.”
Cara majikan melihat kertas sijil sebagai komoditi juga merupakan faktor lain.
“Ijazah digunakan sebagai proksi untuk mengambil pekerja walaupun tidak semestinya berkaitan dengan prestasi yang lebih baik di tempat kerja. Idea ini bukan hanya berat sebelah tetapi juga faktor pendorong bagi pelajar untuk cuba memainkan sistem,” kata Mohd Sedek.
Pelajar yang menganggap pendidikan sebagai komoditi boleh menunjukkan prestasi lebih buruk berbanding rakan sebaya mereka yang bermotivasi, tambahnya sebagai amaran.
Berkenaan dengan pekerja berpengalaman yang juga merasakan kenaikan gaji yang tidak stabil, Mohd Sedek berkata majikan pada umumnya menggunakan teori “gaji tetap”. – 24 Mac, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen