BN lancar ‘The Rakyat’ untuk hadapi PRU14


Mohd Farhan Darwis

The Rakyat dilancarkan Perdana Menteri Najib Razak sebentar tadi di PWTC dihadiri oleh semua pemimpin parti komponen gabungan pemerintah itu. – Gambar The Malaysian Insight, 3 Januari, 2018.

KERAJAAN Barisan Nasional (BN) malam ini melancarkan lagi sekali laman portal  “The Rakyat” dalam usaha menangani berita palsu pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14).

Perdana Menteri Najib Razak dalam ucapan pelancarannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berkata, portal itu diwujudkan sebagai wadah untuk rakyat mendapatkan berita sahih dan tepat.

“Kita tahu pada Pilihan Raya Umum Ke-13  pernah jadi mangsa kepada sebaran maklumat palsu ataupun ‘fake news’, walaupun istilah itu tidak popular tapi hakikatnya berita palsu dijadikan senjata pembangkang telah bawa kesan kepada kita.

“Contoh dilakukan oleh pembangkang dan kita percaya akan diulangai sampai pada waktu PRU14 nanti, sebab itu kita perlu wujudkan satu platform yang boleh digunakan untuk menghubungi rayat dan wadah ini mestilah sahih beritanya, cepat dan juga tepat,” kata Najib dalam ucapannya.

Najib pada 29 Mac lalu melancarkan portal e-Rakyat iaitu buletin dalam talian yang bakal menjadi platform penerangan isu semasa, dasar-dasar serta projek pembangunan BN) kepada rakyat.

Najib berkata, portal itu menyediakan e-buletin dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, Kadazan dan Iban malah turut menyediakan infografik bagi memastikan berita dapat disampaikan dengan cepat dan mudah.

Najib juga mengatakan yang portal The Rakyat juga membolehkan rakyat memberi pandangan pendapat mereka untuk dimasukkan ke dalam portal berkenaan.

“Boleh juga gunakan portal ini untuk berikan reaksi rakyat terhadap pelbagai usaha yang dilakukan oleh pemimpin,” katanya.

Tambahnya, The Rakyat juga adalah wadah yang terpenting dalam menentukan kejayaan BN dalam PRU 14 akan datang kerana media sosial adalah wadah utama maklumat untuk rakyat.

“Dan untuk rakyat buat penentuan apabila sampai masanya kita tahu media sosial sudah ambil alih sebagai sumber maklumat terpenting dalam kalangan rakyat,” kata Najib.

Antara kandungan dalam The Rakyat adalah maklumat calon yang bertanding dalam PRU 14 serta manifesto BN.

Maklumat itu bagaimanapun hanya akan dimuat naik ke laman portal itu apabila tiba masanya, katanya lagi.

“Rakyat akan ketahui dengan segala-galanya tentang BN, akan masukkan profil calon-calon kita…hari ini tiada lagi profil calon janganlah cari profil calon malam ini tiada lagi. 

“Bila sampai masanya…jangan tanya bila.. insyaAllah akan masukkan,” kata Najib. – 3 Januari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen