MAHKAMAH Tinggi Taiwan mengarahkan seorang doktor gigi membayar Tw$22.33 juta (AS$744,000) kepada ibunya bagi membayar kembali wang yang digunakan untuk membesarkan dan mendidiknya.
Mahkamah Agung negara itu pada Selasa mengekalkan penghakiman sebelum itu yang memerintahkan lelaki berusia 41 tahun itu menghormati kontrak yang ditandatanganinya bersama ibunya 20 tahun lalu untuk membayar ibunya,
Ibu itu yang hanya dikenali sebagai Lo menceraikan suaminya pada 1990 dan membesarkan dua anak lelakinya sendirian
Bimbang tiada sesiapa akan menjaganya ketika tua nanti, Lo membuat kontrak yang ditandatangani dua anak lelakinya itu selepas mereka berusia 20 tahun, mengarahkan mereka perlu membayarnya 60% daripada pendapatan keseluruhan mereka.
Lo menuduh anak lelakinya mengabaikannya selepas mempunyai hubungan, mengatakan teman wanita mereka malah menghantar surat melalui peguam memintanya supaya tidak “menganggu” anak lelakinya, menurut laporan media tempatan.
Dia memfailkan saman lapan tahun lepas selepas mereka tidak mahu mematuhi kontrak itu. Anak lelaki sulungnya akhirnya membayarnya Tw$5 juta untuk menyelesaikan kes.
Anak lelaki bongsunya mendakwa kontrak itu melanggar “amalan baik” membesarkan anak dan tidak wajar diukur daripada aspek kewangan, mengheret ibunya ke mahkamah untuk menentang saman itu.
Lo merayu sehingga ke Mahkamah Agung selepas mahkamah rendah memihak kepada anaknya.
Mahkamah Agung mengatakan kontrak itu sah kerana anak lelakinya itu seorang dewasa ketika menandatanganinya, dan selaku doktor gigi dia mampu membayar ibunya.
Kes pengabaian dan meninggalkan warga emas meningkat di Taiwan sejak kebelakangan ini sehingga mencetuskan desakan mewujudkan undang-undang memenjarakan sesiapa yang gagal menjaga ibu bapa mereka yang sudah tua walaupun ia belum diluluskan. – AFP, 3 Januari, 2018.
Komen