Tetap tarikh akhir pendaftaran vaksinasi Covid-19 tidak adil, kata pemimpin DAP


Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kula Segaran berkata cadangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menetapkan tarikh akhir pendaftaran vaksinasi adalah tidak adil kerana masih ramai golongan B40 dan yang terpinggir tiada akses untuk berbuat demikian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mac, 2021.

MENETAPKAN tarikh akhir untuk pendaftaran vaksinasi Covid-19 merupakan satu idea cacat yang mengetepikan golongan terpinggir dan kumpulan B40 yang mungkin tidak mempunyai akses untuk pendaftaran, kata Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kula Segaran.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam mengenai kemungkinan tarikh akhir pada Jun.

“Cadangan ini tidak mengambil kira kekurangan maklumat mengenai proses vaksinasi terutamanya kepada mereka di kawasan luar bandar, golongan terpinggir dan komuniti B40.”

“Walaupun saya bersetuju bahawa proses vaksinasi tidak boleh diteruskan selamanya, namun untuk menetapkan Jun sebagai tarikh akhir adalah idea yang buruk.

“Banyak kecacatan dalam cadangan ini kerana masih ramai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai akses internet atau telefon pintar. Ada sesetengah kawasan luar bandar tidak mempunyai kemudahan ini,” kata ahli Parlimen DAP itu dalam satu kenyataan.

Semalam, Muhyiddin ketika lawatannya di Kota Kinabalu, Sabah berkata “pendaftaran tidak boleh diteruskan selama-lamanya” dan menyatakan kemungkinan tarikh akhir pendaftaran vaksinasi pada Jun.

Pelan imunisasi kebangsaan dilancarkan pada 24 Februari dan kerajaan menyasarkan untuk memvaksin sekurang-kurangnya 80% penduduk menjelang akhir tahun ini. Tarikh akhir untuk mencapai vaksinasi 80% itu adalah pada Februari tahun depan.

Pendaftaran vaksinasi boleh dibuat menerusi aplikasi MySejahtera, dalam talian di laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) atau menerusi hotline 1800-888-828.

Vaksinasi ini dibuat secara sukarela dan percuma.

Bagaimanapun Kula Segaran berkata melaksanakan tarikh akhir pendaftaran pada Jun adalah tidak adil kepada mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

Beliau juga berkata masih banyak keraguan serta kurang kesedaran dalam segelintir kumpulan penduduk yang perlu diatasi oleh kerajaan.

Terdapat segelintir masyarakat di bandar yang mssh tidak pasti sama ada mereka peru mengambil vaksin berikutan penularan berita palsu dan ia menunjukkan kerajaan masih mempunyai tanggungjawab besar untuk meyakinkan mereka.

“Memaksa dengan mewujudkan tarikh akhir dalah bukan cara yang betul.”

Beliau berkata sebaliknya kerajaan dan wakil rakyat perlu membantu rakyat mendaftar.

“Tiada siapa yang patut dinafikan hak untuk mendapatkan vaksin.”

Kula Segaran berkata beliau menjalankan kempen pendaftaran di Buntong, dalam kawasan Parlimennya, dengan mengarahkan sukarelawan menunjukkan cara mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Ramai yang masih belum mendaftar kerana mereka tidak tahu bagaimana caranya dan ada yang tidak memiliki telefon bimbit. Ada juga yang menyatakan kebimbangan kemungkinan kesan sampingan sekiranya mengambil vaksin. Semua perkara berbangkit dijawab oleh pasukan sukarelawan kami.”– 23 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen