Awasi agenda golongan antivaksin


SEMALAM kerajaan mengumumkan “Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19”, maka keluarlah pelbagai andaian, hasutan, ejekan, makian dan ulasan daripada pelbagai pihak.

“Tak bagi pampasan salah.”

“Dah bagi pun salah juga.”

Mungkin ramai tidak mengetahui inilah perjuangan kumpulan “antivaksin”. 

Namun, ini bukti nyata mereka sebenarnya mempunyai agenda lain iaitu sabotaj polisi kesihatan negara sebab tetap menentang mahu pun twist cerita untuk memburukkan kerajaan dan sekaligus menggagalkan pelan imunisasi kebangsaan.

Saya ambil contoh posting bergambar yang menunjukkan kerajaan terutama KKM tidak telus dalam mengisytiharkan punca kematian rakyat, kes kematian selepas mana-mana individu menerima suntikan vaksin.

Kita lihat bukti fakta dan realiti sebenar tahap kesihatan rakyat Malaysia melalui hasil kajian “National Health Morbidity Survey (NHMS) 2019” (Tinjauan Kebangsaan Kesihatan & Morbiditi 2019).

Kajian NHMS ini boleh dianggap sebagai report card kesihatan rakyat Malaysia.

1) Fakta menarik berkaitan penyakit 3 serangkai:

◾8.9% rakyat Malaysia (dewasa) tidak tahu mereka menghidap diabetes.
◾1 daripada 5 orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes (3.9 juta orang berumur 18 tahun ke atas). 
◾14.1% rakyat Malaysia (dewasa) tidak tahu mereka menghidap hipertensi (sakit darah tinggi).
◾3 daripada 10 atau 6.4 juta rakyat Malaysia menghidap hipertensi. 
◾24.6% rakyat Malaysia (dewasa) tidak tahu mereka menghidap kolesterol tinggi.
◾4 daripada 10 atau 8 juta orang di Malaysia mempunyai tahap kolesterol yang tinggi. 

Ramai sebenarnya tidak sedar mereka berpenyakit. Maka antara kata-kata “arwah sihat sahaja sebelum ini, tiba-tiba meninggal dunia” mungkin sedikit sebanyak statistik ini boleh membantu merungkai masalah sebenar. Nampak sihat belum pasti sihat.

2) Bagaimana pula fakta menarik berkaitan dengan faktor risiko?

◾50.1% rakyat Malaysia (dewasa) adalah obes.
◾52.6% rakyat Malaysia (dewasa) mempunyai masalah obesiti abdomen.
◾Kedua-dua trend ini meningkat.
◾25.1% rakyat Malaysia (dewasa) tidak aktif fizikal (Alhamdulillah semakin menurun mungkin kerana trending amalan bersukan seperti berlari, berbasikal, hiking, renang, bola sepak dan badminton)
◾21.3% rakyat Malaysia (dewasa) adalah perokok.
◾11.8% rakyat Malaysia (dewasa) adalah pengambil alkohol.

Jika dicampur dengan status penyakit 3 serangkai seperti dinyatakan di nombor 1, menjadikan ia suatu resepi yang boleh membawa kepada komplikasi penyakit dan maut. 

Bagaimana pula fakta penting berkaitan insiden penyakit kardiovaskular di Malaysia? 

◾Penyakit kardiovaskular (seperti angin akhmar, strok, serangan jantung) adalah penyebab kematian utama di Malaysia.
◾1.7 juta orang di Malaysia mempunyai 3 faktor risiko utama.
◾3-4 juta orang di Malaysia mempunyai 2 faktor risiko utama.

Ini fakta penting. Memang penyakit kardiovaskular adalah antara penyebab utama kepada berlakunya kematian di Malaysia, tambahan pula dengan statistik kombinasi faktor risikonya. 

Seterusnya, adalah tingkah laku mendapatkan jagaan kesihatan:

◾Terdapat 11.3% mengaku mendapat nasihat daripada media massa seperti Internet, TV, radio dan sebagainya.

Sebagai tambahan, mari kita lihat juga status literasi kesihatan di kalangan orang dewasa di Malaysia. 

Literasi kesihatan ini bermaksud; keupayaan mencari, faham dan guna maklumat dan perkhidmatan kesihatan yang diperlukan demi membuat keputusan kesihatan setiap hari. 

Fakta menarik:

◾1 daripada 3 orang dewasa di Malaysia catat literasi kesihatan yang rendah.

Sudahlah literasi kesihatan rendah, rujuk pula media massa untuk mendapatkan nasihat kesihatan.

Justeru, adakah kes kematian yang berlaku 2-3 hari lepas ini berlaku secara kebetulan walaupun individu tersebut kelihatan sihat sebelum meninggal dunia?

Pihak KKM mengeluarkan laporan kematian bukan tanpa siasatan dan pembuktian. 

Kenyataan rasmi sudah dikeluarkan yang insiden berlaku ada berkaitan dengan penyakit kardiovaskular dan data daripada kajian NHMS juga selari dengan memberi gambaran secara meluas dan berfakta kebarangkalian perkara ini berlaku dalam kalangan orang dewasa di Malaysia.

Kami sudah beri penjelasan dan penerangan berfakta. Bagi yang tidak percaya dengan realiti sebenar kad laporan kesihatan rakyat Malaysia (NHMS 2019) ini, mohon berkongsi dengan kami fakta sebenar yang boleh dikaitkan insiden kematian FL baru-baru ini sahih adalah disebabkan pemberian vaksin Covid-19.

Saya mohon pihak yang membuat andaian, hasutan, ejekan, makian dan ulasan tidak berasas agar kembali membetulkan keadaan. 

Jangan nanti tindakan anda menjadikan anda seorang yang muflis di akhirat.

Ajal maut di tangan Allah. Kami anggota kesihatan cuma mampu berusaha. Namun Allah jua Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui. Tidak termampu kami menghalang ajal maut seseorang itu walau sesaat.

Justeru, semasa Program Imunisasi Vaksin Covid-19 Kebangsaan ini sedang berlangsung, dianggarkan sasaran untuk mencapai imuniti kelompok memerlukan 26 juta (80% rakyat Malaysia) penerima suntikan vaksin. 

Namun perlu diingatkan ketentuan ajal tidak terhenti, malah malaikat maut tetap menjalankan tugas mereka. 

Maka, tidaklah semua insiden kematian selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 (sudah 4-5 hari atau seminggu atau sebulan selepas menerima suntikan vaksin) adalah sahih disebabkan oleh pemberian vaksin.

Biar KKM buat tugas mereka, kita hormati dan percaya KKM memikul amanah yang diberikan secara telus dan berdedikasi. 

Apakah rakyat Malaysia lebih percaya individu yang tiada latar belakang kesihatan tetapi cuba menjadi jaguh “pakar rujuk kesihatan” di media sosial? 

Tepuk dada tanya pemikiran masing-masing. – 23 Mac, 2021. 

* Mohd Dziehan Mustapa, pegawai farmasi anda, Medical Mythbusters Malaysia (M3).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen