MENTERI Luar Zambia, Henry Kalaba meletak jawatan hari ini selepas mengkritik tahap rasuah yang melampau di negara itu yang dilakukan oleh “mereka yang sepatutnya memberi penyelesaian”, lapor media antarabangsa.
Beliau melemparkan kritikan itu yang turut mengecam Presiden Zambia, Edgar Lungu dalam satu tulisan di Facebook, lapor BBC.
Kalaba, yang dilantik ke jawatannya pada 2014, turut menyelar parti pemerintah, Barisan Patriotik.
“Kita tidak boleh terus menguruskan hal ehwal negara dengan sikap yang sama ketika tahap rasuah membengkak dan dilakukan oleh mereka yang sepatutnya memberi penyelesaian (kepada masalah rasuah).
“Nampaknya rakyat Zambia yang miskin bukan lagi alasan kenapa kita berpaut pada kuasa,” katanya, seperti dipetik oleh AFP.
Antara dakwaan rasuah yang timbul baru-baru ini termasuk dakwaan perolehan 42 buah kereta bomba pada harga AS$1 juta setiap sebuah, projek jalan raya bernilai AS$1.2 bilion dan pembelian 50 buah ambulan bernilai AS$228 juta, lapor AFP.
Memetik penganalisis politik, BBC melaporkan tindakan Kalaba ini dilihat satu usaha menekan Lungu untuk membatalkan usahanya bertanding sekali lagi dalam pemilihan presiden.
Kalaba dianggap calon pengganti Lungu namun presiden itu berhasrat mahu bertanding sekali lagi pada 2021, usaha yang dikecam oleh pengkritiknya sebagai melanggar Perlembagaan.
Perlembagaan Zambia menetapkan had tempoh jawatan selama dua penggal.
Lungu kini memohon kepada mahkamah untuk memberi kebenaran kepadanya bertanding sekali lagi bagi penggal yang ketiga dengan alasan beliau tidak berkhidmat penuh pada penggal pertama kerana mengambil alih daripada bekas presiden, Michael Sata.
Lungu jadi presiden pada 2015 selepas kematian Sata dan beliau terpilih semula pada 2016.
Menurut Kalaba, beliau sudah menyerahkan surat perletakan jawatannya namun jurucakap pejabat presiden berkata surat berkenaan masih belum diterima oleh pihaknya.
Dalam tulisannya di Facebook, Kalaba bagaimanapun langsung tidak menyentuh cita-cita politiknya untuk jadi pengganti presiden, lapor BBC, sebaliknya hanya bertumpu pada soal rasuah yang makin merebak di peringkat tertinggi.
Beliau bagaimanapun ada menyebut tentang hasratnya berkhidmat untuk “negara dan rakyat” melampaui jawatan dan parti.
Menurut Kalaba, Barisan Patriotik harus kembali ke pangkal jalan dan berpegang semula pada perjuangan membela rakyat miskin dan bukannya golongan korporat.
“Apabila rakyat mula rasa takut untuk berkata benar, itulah masanya untuk kita sedar bahawa asas-asas yang pokok sudah berubah. Kita semua ada peranan untuk membetulkan keadaan.
“Inilah sumbangan kecil saya. Zambia negara kita. Kita perlu dan mesti merebutnya semula,” tulis Kalaba di Facebook. – Agensi, 3 Januari, 2018.
Komen