Indonesia lancar agensi keselamatan siber


Agensi itu ditugaskan untuk menangani kebanjiran berita palsu dan menghapuskan rangkaian pelampau agama dalam talian di negara yang mempunyai lebih 150 juta pengguna internet itu. – Gambar EPA, 3 Januari, 2017.

INDONESIA melancarkan agensi keselamatan siber baru hari ini, memulakan usaha menangani cabaran pelampau agama dalam talian dan kebanjiran berita palsu di media sosial di negara paling ramai orang Islam itu.

Jutaan rakyatnya menggunakan internet, dan kebimbangan berita palsu di internet mula mencapai kemuncaknya.

Salah satu kes berprofil tinggi bulan lepas melibatkan dakwaan palsu tersebar di media sosial yang mengatakan Beijing sedang merancang melancarkan serangan senjata biologi kepada Indonesia.

Berita palsu menyebabkan Kedutaan China mengeluarkan kenyataan, mengatakan berita itu “tersasar” daripada fakta sebenar.

Hari ini, Presiden Indonesia, Joko Widodo menamakan Mejar Jeneral Djoko Setiadi, bekas pengerusi agensi siber negara itu untuk mengetuai agensi baru itu.

Antara tugas berat dipikul Setiadi adalah menghapuskan rangkaian pengganas yang berhubung menggunakan internet dan memerangi aktiviti kebencian yang menjadi punca kebangkitan puak pelampau dalam negara yang pernah disanjung kerana toleransi agamanya itu.

“Kita akan kawal ruang siber,” kata Setiadi hari ini.

“Teknologi kita bukan hanya mampu mengesan, tetapi juga masuk dalam rangkaian pengganas.”

Ketua Kementerian Keselamatan, Wiranto, menambah: “Kita perlukan agensi ini untuk membantu keselamatan negara pada tahap serantau dan antarabangsa.”

Minggu lepas, Indonesia mengatakan ia sudah menambah lebih 600 anggota dalam unit cegah keganasannya untuk menghapuskan kumpulan yang setia kepada IS dan militan lain.

Negara itu sudah lama bergelut dengan puak pelampau agama dan serangan pengganas, termasuklah serangan bom di Bali yang membunuh 202 orang, kebanyakan pelancong asing.

Ia adalah serangan pengganas terburuk pernah berlaku di Indonesia.

Operasi besar-besaran yang dilakukan selepas itu melemahkan rangkaian pengganas, tetapi kemunculan IS menyebabkan wujudnya ancaman radikal baru.

Ratusan rakyat Indonesia menyertai IS, mencetuskan kebimbangan yang kumpulan pengganas lama tidak diberikan perhatian sewajarnya.

Lebih 150 juta daripada 255 juta rakyat Indonesia menggunakan internet.

Jumlah besar itu menimbulkan kebimbangan penyebaran berita palsu.

Beberapa pihak pula merasakan agensi baru itu mengancam hak privasi rakyatnya.

“Sangat malang jika ia memantau perbincangan awam kerana itu adalah hak rakyat,” kata pakar internet, Nukman Luthfie. – AFP, 3 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen