Malaysia pusat sindiket haram Korea Utara?


PERHATIAN harus diberi kepada alasan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia berikutan seorang rakyatnya yang menetap di sini, bakal diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Pada 9 Mac lalu, seorang lelaki Korea Utara dikenali sebagai Mun Chol Myong, gagal dalam rayuan terakhirnya di mahkamah Malaysia terhadap perintah ekstradisi ke AS untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.

Menurut peguamnya, lelaki itu menafikan dakwaan bahawa dirinya mengetuai sekumpulan penjenayah yang melanggar sekatan dengan membekalkan item dilarang ke Korea Utara dan terbabit pengubahan wang haram menerusi sejumlah syarikat.

Chol Myong, berumur lingkungan 50-an, menghadapi empat pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan konspirasi perbuatan itu.

Pertuduhan berkenaan berkait terutama dengan kerjanya di Singapura.

Soalan yang terpantul dalam fikiran ialah adakah atau apakah Malaysia menjadi hub sindiket haram bagi Korea Utara menjalankan operasinya? 

Walaupun apa yang terfikir di fikiran mungkin salah tetapi alasan Korea Utara menimbulkan tanda tanya adakah Malaysia menjadi tempat untuk negara seperti Korea Utara menjalankan pelbagai sindiket haram tersebut. 

Walaupun pihak Korea Utara menafikan tuduhan ke atas rakyatnya yang didakwanya sebagai tunduk kepada AS, adakah Korea Utara mempertikaikan keputusan mahkamah negara kita?

Walaubagaimanapun suatu siasatan atau pembongkaran harus dilakukan tentang apakah sebenarnya urusan Mun di negara ini? Apakah urusan perniagaannya, Jika mahkamah telah memutuskan yang Mun melakukan pengubahan wang haram, adakah satu sindiket telah beroperasi di sini? Jika beroperasi sindiket pengubahan wang haram dari negara manakah kaitan dan hubungannya?

Bagaimanakah ia boleh bergerak di sini? Kerajaan harus menjalankan siasatan ke atas perkara kerana ia melibatkan kedaulatan dan keselamatan negara. Bagaimanakah kemasukan begitunya mudah di sini bagi menjalankan kegiatan-kegiatan seumpamanya? Adakah ini ada kaitan dengan kelonggaran syarat Visa di negara kita menjadikan kegiatan sindiket begitu berleluasa?

Banyak soalan yang dikemukakan kerana tuduhan Pyongyang itu agak berat ke atas negara kita dan kata kuncinya ialah pengubahan wang haram dan dua pertuduhan konspirasi perbuatan itu. Adakah beliau perancang utama sindiket tersebut?

Kita juga berharap kemasukan percuma visa yang pro perniagaan dan untuk meningkatkan pelancongan diperhalusi kerana ia mempertaruhkan keselamatan negara di samping membuka kepada ruang sindiket kepada kegiatan jenayah antarabangsa. 

Jika tidak silap, daripada pembunuhan berprofil tinggi Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin utama Korea Utara, Kim Jong-un di KLIA2, dapat diandai bahawa agen Korea Utara sedang bergerak di negara kita, mereka dikatakan berada di tempat kejadian semasa pembunuhan berlaku. 

Selepas pembunuhan ini kemasukan percuma visa untuk Korea Utara dibatalkan. Tidak keterlaluan jika dikatakan sebelum pembunuhan Jong-nam, Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang tidak mengenakan syarat visa kepada warga Korea Utara dan dapat diandaikan mereka telah menggunakan kesempatan ini dengan membuka perniagaan dan menjalankan kegiatan sindiket di sini.

Walaupun dari segi senarai kedudukan Malaysia indeks kegiatan Pengubahan Wang Haram Basel masih rendah iaitu 5.25 berbanding Myanmar (7.86), Laos (7.82), Kemboja (7.10), Vietnam (7.04) dan Thailand (6.01), kerajaan harus meneliti dan memberikan perhatian serius tentang perkara ini selepas kejadian Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik itu. – 22 Mac, 2021.

 

* Ismail Hashim Yahaya, pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen