Mengintai PRU15: Apa yang kita boleh jangkakan?


SAYA cukup yakin, sebaik sahaja Parlimen dilepaskan dari tali gantung Muhyiddin Yassin akan membubarkan Parlimen, dan Pilihan Raya Umum ke-15 akan berlaku. 

Satu-satunya perkara yang boleh menghalang perkara ini adalah proses pembelian ahli-ahli Parlimen berjaya mencapai majoriti – tanpa mengira sokongan dari Umno. 

Keadaan ini hampir mustahil berlaku, walaupun berkemungkinan besar akan ada lagi beberapa ahli Parlimen yang akan beralih sokongan kepada kerajaan – selalunya mereka yang terkait dengan kes rasuah seperti Dr Xavier Jayakumar. Sebab itulah ahli politik sepatutnya berkelakuan baik dan tidak terpalit dengan skandal rasuah; jika ia berlaku, ‘telurnya’ akan dipegang oleh mereka yang berkuasa. 

Umno pula bermain politik dengan bijak, mereka telah menjarakkan diri dengan kerajaan – ketika kempen PRU15 nanti mereka akan berkata kerajaan Perikatan Nasional adalah kerajaan Bersatu, bukan Umno. 

Saya pernah mengatakan; jangkaan Umno akan kekal bergabung dengan Bersatu umpama membayangkan PAS akan berkahwin dengan Amanah. Sejarah yang berlaku antara Umno dan Bersatu menyukarkan proses koalisi mereka – ditambah dengan tekanan dari akar umbi Umno yang kelihatan secara terang-terangan menolak kerjasama dengan Bersatu. 

Sebagai parti baharu, Bersatu memerlukan rakan strategik seperti Umno untuk membantu pembinaan kepercayaan rakyat dan perkongsian sumber. Bersatu tanpa Umno akan menyaksikan kekuatan mereka akan merosot secara mendadak. 

Pertama, mereka tidak memiliki akar umbi yang kuat; kedua mereka tidak mempunyai ramai tokoh yang benar-benar disukai oleh rakyat; ketiga ‘foundation’ kepada parti ini turut dipelopori oleh ahli-ahli Parlimen yang melompat parti, sesuatu yang mereka boleh lakukan sekali lagi jika mereka merasakan Bersatu tidak mampu memberi keuntungan kepada mereka. 

Untuk menjadi parti politik yang kuat, sesebuah parti itu harus mempunyai sejarah ideologi dan kekuatan akar umbi yang mantap, sebagai parti baharu, Bersatu kehilangan faktor penting ini.

Umno konsisten mengatakan tiada kerjasama dengan Bersatu menjelang PRU15, Bersatu pula sedang dalam proses memujuk; dibantu oleh ‘penyatu ummah’ PAS. 

Sejak awal lagi saya mengatakan perkongsian segmen pengundi di antara ketiga-tiga parti Melayu Islam ini akan menjadi masalah menjelang PRU15. 

Berbeza dengan Bersatu dan PAS, Umno telah biasa bertanding di banyak kerusi ketika pilihan raya umum; dan kadar kemenangan mereka juga boleh dikatakan tinggi. Saya tidak fikir Umno ingin melepaskan banyak kerusi, terutamanya kerusi-kerusi boleh menang. 

Bersatu dan PAS pula akan berasa tersinggung apabila Umno enggan memberikan mereka kerusi – ia telah berlaku di Sabah, apabila Perikatan Nasional enggan memberikan calon PAS mana-mana kerusi ketika PRN Sabah tahun lepas. Ini adalah asas konflik di antara ketiga-tiga parti ini. 

Umno sebagai parti yang paling kukuh dari segi akar umbi dan sejarahnya, sudah tentu akan merasakan mereka mempunyai potensi untuk berjaya dalam PRU15. Sejak akhir-akhir ini, banyak parti politik yang mempunyai kecenderungan untuk meminang Umno – saya yakin parti-parti sedar akan kekuatan Umno selepas PRU14. 

Saya melihat Najib Razak yang sedang berhadapan pelbagai tuduhan korupsi dan pengubahan wang haram telah bertindak lebih berkesan dari pembangkang untuk segmen pengundi Melayu luar bandar, sekurang-kurangnya di media sosial. 

Barangkali keadaan ini berlaku kerana berlaku ‘retak’ dalam rumah Pakatan Harapan. Mereka kelihatan mempunyai konflik dalaman yang mampu menjadi barah jika dibiarkan. 

Saya tidak terkejut ketika PRU15 nanti mereka tidak lagi akan bersama; saya boleh meramalkan salah satu daripada parti politik di dalam Pakatan Harapan akan bergabung dengan Umno, sama ada sebelum atau selepas PRU15. 

Rakyat bukan sahaja lelah kerana telah dilanggar oleh pandemik Covid-19; kita juga penat kerana drama politik yang tak berkesudahan. 

Sejarah tidak akan berlaku baik kepada tindakan membentuk kerajaan tanpa jalan pilihan raya, berpuluh tahun dari sekarang berkemungkinan ia akan ditulis sebagai sejarah hitam Malaysia. 

Jika dahulunya rakyat mengharapkan kerajaan yang berprestasi tinggi dan peduli, kini rakyat hanya berharap memiliki kerajaan yang stabil dan kurang drama. Andainya kerajaan itu tak stabil, sudah tentu mereka tidak ada masa untuk memikirkan hal kebajikan rakyat. Menyedihkan untuk menurunkan ‘standard’ kita, tapi itu pilihan terbaik yang kita miliki pada PRU15. – 22 Mac, 2021.

 

* Rahman Imuda, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen