Hargai nilai air


HARI Air Sedunia disambut setiap 22 Mac sebagai menandakan kepentingan air untuk tamadun manusia dan alam sekitar. Hari Air Sedunia tahun ini memberi tumpuan kepada “Menilai Air” (Valuing Water).

Banyak yang telah diperkatakan mengenai air dan bolehkah kita meletakkan satu tanda harga kepada air?

Walaupun kita mungkin diberkati dengan limpahan sumber air di Malaysia, masih banyak berlaku kegagalan perancangan yang menyebabkan pencemaran air, kehilangan kawasan tadahan dan juga gangguan bekalan air terawat yang kerap.

Pada masa yang sama, kita juga perlu memahami bahawa disebabkan globalisasi, import dan eksport barangan juga melibatkan import dan eksport penggunaan air di peringkat global. Maka, pengurusan keseluruhan rantai sektor air adalah sangat penting.

Setiap kali ada perubahan dalam pemerintahan, banyak kumpulan berkepentingan memilih untuk menggagalkan rancangan yang baik yang boleh melindungi sektor air kita dan mereka memesong rancangan tersebut untuk memberi manfaat kepada mereka.

Adakah masyarakat umum akan melihat nilai sebenar air dan keperluan untuk melindunginya? Adakah pegawai kerajaan boleh dipercayai untuk melindungi sektor air?

Air untuk Rakyat

Penggunaan air terawat di Malaysia sentiasa meningkat. Pada tahun 1981, Malaysia menghasilkan 2,126 JLH (juta liter sehari) air terawat dan pada tahun 2017 kita telah meningkatkan pengeluaran hampir 8 kali ganda menjadi 16,884 JLH. Hampir 60% air terawat digunakan oleh pengguna domestik.

Pada tahun 2017, kita telah membekalkan air terawat kepada 95.5% daripada jumlah penduduk dan 97.0% dari jumlah penduduk kawasan bandar. Kelantan, Sabah dan Sarawak perlu meningkatkan infrastruktur bekalan air mereka supaya petunjuk bekalan air nasional dapat mencapai tahap tertinggi.

Bekalan air yang bersih dan berterusan penting untuk memastikan kebersihan dan tahap sanitasi dapat dijaga dengan lebih baik.

Air untuk Keuntungan

Menurut Jabatan Perangkaan, sektor pertanian menyumbang 7.1 peratus atau RM101.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019. Ini termasuk minyak sawit, getah, ternakan, perhutanan dan pembalakan, penangkapan ikan dan aktiviti pertanian lain.

Air adalah parameter penting untuk memastikan sektor pertanian dapat menghasilkan barang mentah, separuh siap dan siap untuk penggunaan kita.

Kita juga mengimport makanan. Menurut Bank Negara Malaysia, import (barangan makanan terpilih) telah meningkat dari RM43 bilion pada tahun 2013 menjadi RM54 bilion pada tahun 2018. Pengeluaran makanan sangat bergantung kepada ketersediaan air sehingga menjadikan air sebagai parameter penyumbang sektor makanan.

Air juga memainkan peranan penting dalam sektor ekonomi yang merangkumi pembuatan dan perkhidmatan. Sektor perniagaan ini mendorong ekonomi dan memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat. Pada tahun 2019, sektor perkhidmatan dan pembuatan menyumbang 79.9% kepada ekonomi negara.

Air untuk alam sekitar

Walaupun manusia dan ekonomi memerlukan air, kelangsungan hidup alam sekitar bergantung sepenuhnya pada air. Perubahan guna tanah selama beberapa dekad yang lalu telah menyebabkan perubahan teruk pada corak cuaca yang seterusnya menyebabkan perubahan kepada jaminan bekalan air mentah serta peningkatan kebakaran tanah gambut dan kejadian banjir.

Musim kemarau menjadi lebih panas dan menyebabkan aliran sungai sewaktu musim panas turut lebih rendah. Ini adalah kitaran maut yang akan mempengaruhi jaminan air mentah dan kesiapsiagaan menghadapi bencana.

Banyak rancangan yang baik dan berkesan telah dikemukakan untuk melindungi sektor air dan alam sekitar. Malangnya terdapat individu-individu yang licik menyalahgunakan sistem dan menggunakan lompang sedia ada untuk merosakkan alam sekitar demi kepentingan mereka.

Peningkatan masalah yang berkaitan dengan alam sekitar adalah petunjuk yang baik yang dapat kita perhatikan untuk mengukur situasi semasa. Begitu juga, sistem sungai yang tercemar juga menghasilkan rantai makanan yang tercemar. Semua bahan kimia yang dibuang secara sah dan haram ke dalam air sungai kita akhirnya akan sampai ke meja kita sebagai makanan.

Bagaimanakah kita meletakkan tanda harga kepada air jika kita mempertimbangkan kesihatan anak-anak kita?

Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara (PSIPAN)

PSIPAN bermula pada tahun 2004 dan membawa kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Negeri untuk memberikan kuasa eksekutif kepada Kerajaan Persekutuan mengenai rawatan dan bekalan air di Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Proses penstrukturan semula dimulakan pada 1 Januari 2008 dan dirancang untuk diselesaikan pada akhir tahun 2010. Rancangan ini masih tertangguh kerana beberapa negeri masih belum menstruktur semula.

Indah Water Konsortium (IWK) merupakan contoh yang jelas mengenai kegagalan penswastaan ​​melalui perjanjian konsesi di mana ia menanggung hutang yang memerlukan Kerajaan Persekutuan mengambil alih operasinya (bailout).

Di bawah PSIPAN, IWK akan dipecahkan kepada entiti berasaskan negeri dan bergabung dengan operator air peringkat negeri untuk meningkatkan kelestarian sektor perkhidmatan air.

Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) yang dibentuk di bawah Kementerian Kewangan akan memperoleh pembiayaan infrastruktur dari pasaran bon. Seluruh proses ini akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Malangnya, satu perancangan yang baik tetapi kita kitar semula modal insan.

Kementerian yang bertanggungjawab terhadap air dan agensinya dibelenggu dengan ketidakcekapan (incompetence). Pada masa ini, ada usaha untuk memesong dari PSIPAN. Cadangan untuk membentuk syarikat air nasional sebenarnya adalah untuk melindungi IWK daripada mengikuti PSIPAN.

Kegagalan menutup agensi yang bertindih tugas seperti Jabatan Bekalan Air dan Jabatan Perkhidmatan Pembentungan akan meneruskan legasi politik pejabat. Kita juga dapat melihat dalam dekad yang lalu bagaimana pegawai kanan memegang jawatan di lembaga syarikat air setelah bersara.

Berapakah harga kegagalan melaksanakan PSIPAN dan menggantinya dengan dasar baru yang jelas memberi manfaat hanya kepada kumpulan berkepentingan tertentu?

Adakah Kerajaan Persekutuan bersedia menghadapi negeri-negeri yang mungkin mencabar kegagalan menepati janji yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri dan Majlis Raja-Raja dalam perjalanan untuk mencapai PSIPAN?

Adakah pegawai-pegawai tidak beramanah di kementerian yang menjaga air dan agensi-agensi mereka akan dipertanggungjawabkan atas kegagalan yang bakal muncul pada masa depan?

Kumpulan berkepentingan hanya akan meminta kerajaan mengambil alih syarikat (bailout) selepas membelanjakan ratusan bilion dan adakah kerajaan mempunyai sebarang pilihan pada waktu itu?

Keupayaan untuk melihat ke hadapan adalah penting ketika merancang untuk negara. Sehingga kini kami telah meramalkan kegagalan dasar-dasar yang memihak kepada kumpulan-kumpulan berkepentingan tertentu sejak ia diperkenalkan.

Sejujurnya, adakah seseorang perlu memberitahu agensi-agensi ini bahawa mereka adalah anai-anai  sebenar negara ini?

Dasar-dasar yang dirancang mesti membina negara kita, melindungi ekonomi kita dan memberikan hasil terbaik untuk rakyat kita.

Itulah nilai yang boleh anda tinggalkan untuk generasi akan datang! Jangan jadi anai-anai! – 22 Mac, 2021.

 

* Piarapakaran S, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen