Pemilik restoran jual produk sedia dimasak tampung hutang


Khoo Gek San

Kelonggaran PKP tidak banyak membantu perniagaan restoran dan banyak kedai terpaksa kerana tidak mampu menampung kos operasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2021.

SATU perkara positif yang boleh diambil daripada pandemik Covid-19 adalah tahap kesedaran tinggi dalam kalangan pengguna untuk menyokong perniagaan kecil.

Wabak itu membantu pemilik gerai yang terkesan teruk mencari alternatif menjual makanan yang sedia dimasak atau minuman untuk dinikmati di rumah.

Sesetengah produk mendapat sambutan baik, sekali gus membolehkan peniaga menjana pendapatan bagi membayar hutang.

Patrick Cheng yang mengendalikan restoran MyElephant Thai sejak 2007 menjual daging burger dan daging perap supaya pelanggan boleh masak di rumah.

Dua restoran miliknya tidak mampu menjana pendapatan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun depan dan terpaksa menanggung hutang ratusan ribu.

Cheng, 42, terpaksa menutup restorannya dalam tempoh PKP dan hanya membuka semula apabila perintah dilonggarkan tetapi terpaksa membuang 16 pekerja.

Kelonggaran PKP tidak banyak membantu perniagaannya dan dia terpaksa menutup semula restoran pada Disember serta membuang lagi 16 pekerja.

“Saya tidak mahu meminjam wang atau meminta sumbangan. Berapa kali orang boleh meminjamkan duit kepada kita? Dan berapa kali orang boleh simpati untuk memberi sumbangan?

“Saya mengambil keputusan untuk menggunakan kemahiran dan pengalaman di dapur untuk menghasilkan daging burger serta ayam rendang untuk dijual,” katanya.

Dia melancarkan kempen promosi pada 26 Februari lalu dan bekerja 18 jam sehari bagi menghasilkan produk daging.

“Kami menerima sambutan baik. Tetapi disebabkan produk ini dihasilkan secara manual, kami tidak boleh menerima lebih 300 pesanan.

“Satu tempahan seberat kira-kira tiga kilogram. Jika kami mendapat 30 tempahan sehari, kami akan menghasilkan 100 kilogram daging.

“Pelanggan mengkritik kelewatan penghantaran dan kami pernah dituduh menipu,” kata Cheng.

Bagi mengurangkan kos, Cheng meminjam dapur daripada restoran lain sebagai tempat kerjanya menghasilkan daging.

Walaupun produknya mendapat maklum balas baik, Cheng tetap realistik dan tahu dia tidak boleh bergantung kepada tempahan untuk meneruskan perniagaannya.

“Saya tidak berani menyewa tempat. Saya tidak pasti berapa kali pelanggan akan mengulangi pesanan mereka dan berapa lama produk ini boleh bertahan.

“Tetapi saya menumpukan perhatian untuk menyelesaikan hutang dalam tempoh setahun,” katanya. – 22 Mac, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen