Mana suara speaker pertahan hak Parlimen untuk bersidang?


SELEPAS pengumuman kebenaran kehadiran penonton ke stadium dan pembukaan bazar, berita pembukaan persidangan Parlimen masih belum kita dengar.

Kita semua tertanya-tanya di manakah suara speaker Dewan Rakyat yang sepatutnya menyuarakan dan mempertahankan hak Parlimen untuk dibuka dan kembali bersidang.

Speaker Dewan Rakyat sepatutnya lebih memahami tujuan dan fungsi Dewan Rakyat sebagai sebuah institusi penggubal undang-undang.

Apabila ahli Parlimen tidak mempunyai ruang untuk membahaskan undang-undang yang mahu diperkenalkan oleh kerajaan, rakyat akhirnya menjadi mangsa dan terpaksa berdepan dengan keputusan Kabinet yang hanya memperkenalkan garis panduan penetapan nilai dan kadar pengurangan selepas arahan mengenakan kompaun RM10,000 dilaksanakan.

Tanpa persidangan Parlimen, penguatkuasaan undang-undang separuh masak seperti ini tidak dapat dibahas dan diperhalusi oleh ahli Parlimen.

Kemuliaan dan kedaulatan institusi pembuat undang-undang ini wajar dipertahankan oleh speaker Dewan Rakyat.

Oleh itu, saya menggesa agar speaker Dewan Rakyat kembali mempertahankan kebebasan Parlimen dan hak untuk ahli Parlimen bersidang, berbahas dan menyemak akauntabilti pentadbiran kerajaan yang kini memberi kesan negatif kepada rakyat. – 21 Mac, 2021.

* Hannah Yeoh ialah ahli Parlimen Segambut.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen