SEORANG pegawai belian mengalami kerugian RM64,207 apabila ditipu, kononnya menerima bungkusan hadiah daripada teman lelaki yang dikenalinya menerusi laman sosial Instagram baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata ia bermula apabila wanita berusia 35 tahun dan bekerja di sebuah Syarikat Pengimport Logistik itu berkenalan dengan seorang lelaki menerusi Instagram.
Katanya selepas sebulan mereka berkenalan, lelaki itu memberitahu yang dia menghantar bungkusan sebagai hadiah, dan kemudiannya wanita itu menerima panggilan telefon kononnya daripada seorang ejen kargo memberitahu terdapat barang atas namanya, namun ada pembayaran perlu dibuat bagi mendapatkan barang itu.
Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata wanita itu kemudian membuat lima pindahan wang ke beberapa akaun diberikan suspek membabitkan jumlah RM64,207, dan dia hanya sedar ditipu selepas gagal menghubungi teman lelakinya serta ejen yang mendakwa daripada syarikat kargo. – Bernama, 20 Mac, 2021.
Komen