Dilema penduduk kampung dan tamadun terawal Sungai Batu


KEPUTUSAN kerajaan negeri Kedah ingin membina jalan sebagai laluan kepada penduduk kampung berdekatan Tapak Arkeologi Sungai Batu telah mengundang pelbagai tanggapan dan persepsi terhadap tamadun terawal di Asia Tenggara itu.

Saya telah berkesempatan bertemu dengan para penyelidik yang dikhabarkan seolah-olah dihalau, walhal ia tidaklah seperti yang digambarkan. 

Apapun, tidak berlebihan jika saya katakan para penyelidik inilah yang menjadi tulang belakang dan hero, yang tidak didendang, yang mengangkat tapak arkeologi ini sehinggalah penemuan penting membuktikan kepada dunia bahawa Sunagi Batu merupakan tamadun terawal di Asia Tenggara berbanding Borobudur di Indonesia dan Angkor Wat di Kemboja. 

Seramai 12 orang pelajar peringkat sarjana dan lima orang peringkat doktor falsafah (PhD) berjaya dilahirkan melalui kajian penyelidikan mereka di tapak arkeologi ini. Manakala masih terdapat enam lagi sedang aktif menyiapkan tesis.

Ini merupakan sumbangan terbesar pendidikan melalui penyelidikan mencerakinkan fakta sejarah yang amat berharga. 
Tapak arkeologi mesti dilihat sebagai sesuatu entiti yang kekal, tidak boleh diperbaharui, selain nilainya yang tinggi dan amat sensitif.  

Maka, para penyelidik ini wajar diberikan ruang yang luas tanpa halangan untuk meneruskan kerja-kerja mereka dalam usaha mengangkat Sungai Batu dan Lembah Bujang sebagai lokasi pelancongan arkeologi di peringkat dunia. 

Dalam memastikan keadilan dalam menimbang tara berita yang tular, saya telah pun berkunjung ke setiap rumah penduduk berdekatan tapak arkeologi tersebut untuk bertanyakan khabar dan pandangan. 

Terdapat 11 buah rumah termasuk dua yang sedang dalam pembinaan, dan rata-ratanya dihuni oleh ahli keluarga dari kalangan terdekat. Sebahagian besar keluarga ini telah menduduki penempatan tersebut lebih tiga dekad yang lalu. 

Fakta di atas lokasi dapat dilihat secara jelas melalui kedudukan pagar sempadan yang mana penduduk dan kontena para pengkaji dari kalangan penyelidik USM kedua-duanya berada di atas tanah kerajaan negeri. 

Terdapat sebatang jalan menghubungkan penduduk dengan jalan raya utama yang melalui tapak warisan tersebut. Mereka bukan sahaja berkongsi pagar yang sama, malahan berkongsi pintu keluar masuk yang sama. 

Isu ketidakpuasan hati timbul apabila ada cadangan mengalihkan jalan tersebut keluar dari tapak warisan dan dibina yang baru di atas tanah kerajaan negeri sebagai langkah memelihara tapak warisan tercemar oleh sebarang gangguan. 

Namun lokasi cadangan jalan baru ini memerlukan lokasi kontena para pengkaji yang telah berada di situ sejak 2018 perlu dipindahkan. 

Melihat dilema ini, perlu ada keputusan ‘win-win situation’. Sebenarnya telah ada sebatang jalan yang telah diusahakan oleh penduduk kampung tetapi masih belum siap sepenuhnya. 

Saya ingin mencadangkan jalan ini boleh dijadikan alternatif penyelesaian dilema antara penduduk kampung dan tapak arkeologi dan memelihara tapak tamadun terawal dari sebarang gangguan. 

Kerajaan negeri boleh mendapatkan pandangan dan mengadakan perbincangan konstruktif dengan penduduk kerana penglibatan mereka amat penting dalam membuat keputusan yang melibatkan impak sosial dalam jangka masa panjang. 

Saya difahamkan kerajaan negeri tidak bercadang untuk memindahkan penduduk bahkan telah mengarahkan Pejabat Daerah Kuala Muda dan mengumumkan tanah seluas 278.7 meter persegi akan diplotkan dengan keluasan yang munasabah untuk didiami oleh keluarga yang tidak mempunyai tapak rumah dan benar-benar memerlukan. 

Persoalan saya berapakah keluasan munasabah plot tersebut dan adakah keseluruhan plot tanah ini akan diberikan hanya kepada bilangan penduduk kampung sedia ada atau kepada orang luar selain dari penduduk asal? 

Tapak warisan dikategorikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) seperti dalam takrifan yang memerlukan zon penampan. Kerajaan negeri juga berkata akan mengadakan zon penampan bagi menjarakkan tapak warisan tapak dan rumah penduduk. 

Namun, ingin saya tegaskan kedudukan rumah penduduk sedia ada yang telahpun berada dalam zon penampan perlu diambil kira dan diberi perhatian agar tidak berlaku pertikaian di masa hadapan. 

Saya amat menghargai usaha sama ada secara individu atau berkumpulan yang terus berusaha menyokong pembangunan di Sungai Batu. Namun, rasa obses kita kepada sesuatu tidak harus menenggelami fakta isu sebenar sehingga mengundang keresahan awam. 

Saya akan terus konsisten mengangkat isu ini di Dewan Rakyat yang mulia, dan saya juga sangat yakin bahawa kesungguhan serta keazaman politik (political will) mesti diterjemahkan untuk mengangkat tamadun Sungai Batu ke persada dunia. 

Dalam usaha memelihara tinggalan sejarah yang sangat bernilai, jerih perih rakyat yang membuka tanah dan memohon geran sejak sekian lama tidak harus dikesampingkan.  – 20 Mac, 2021.

* Nurin Aina ialah ahli Parlimen Merbok.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen