Tubuh panel industri antarabangsa bentuk dasar pelaburan baharu


JIKA pada Januari lepas, ramai pemimpin korporat antarabangsa telah mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara terbuka di LinkedIn atas kemerosotan negara dalam menarik pelaburan, kini Bank Dunia pula melaporkan Malaysia ketinggalan dalam melakukan reformasi dasar pelaburan. 

Laporan terbaru Bank Dunia perlu dipandang serius yang secara tidak langsung telah mengkritik kerajaan PN, selepas pelaburan langsung asing bersih negara jatuh 56% pada 2020.

Kegagalan PN ini memberikan kesan kepada ekonomi rakyat termasuk peluang pekerjaan dan perniagaan PKS. 

Seperti yang dilaporkan dalam laporan Bank Dunia, dasar dan insentif yang telah dilaksanakan di negara kita pada masa lepas tidak lagi sesuai untuk memacu Malaysia menjadi destinasi pelaburan yang menarik di rantau Asia. 

Kita memerlukan satu pelan pelaburan jangka panjang yang memberi tumpuan khusus terhadap pembangunan industri baharu yang mempunyai sinergi atau keberkaitan dengan industri utama negara sedia ada. 

Misalnya, kekuatan Malaysia dalam pembuatan semikonduktor dan peralatan elektronik boleh dikembangkan ke arah pembangunan industri berteknologi tinggi. 

Sehingga bila Malaysia mahu kekal menjadi pengeluar komponen untuk negara lain? 

Malaysia harus bangkit menjadi negara yang memperkenalkan teknologi berinovasi tinggi.

Justeru, kerajaan harus keluar daripada mentaliti tertutup dan memikirkan insentif dan dasar yang sesuai untuk menarik pelabur-pelabur antarabangsa, dan pada masa yang sama, membangunkan syarikat tempatan.

Oleh itu, satu panel khusus industri ditubuhkan untuk merangka dasar pelaburan negara untuk jangka panjang.

Setiap panel ini akan fokus kepada suatu industri baharu tertentu yang ingin dibangunkan di Malaysia.

Panel ini juga harus terdiri daripada wakil syarikat-syarikat terkemuka dunia dalam industri yang berkaitan dan dikoordinasi oleh agensi kerajaan berkaitan. 

Menerusi kaedah ini, insentif dan perancangan yang terkandung dalam dasar berkenaan akan relevan dengan kehendak pelabur dan seterusnya menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang utuh.

Usaha menarik pelaburan asing tidak harus terhenti setakat pemberian insentif sahaja, tetapi juga memerlukan perancangan yang lebih menyeluruh terutamanya dalam mengukuhkan modal insan berkemahiran tinggi, memupuk inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta meningkatkan persaingan pasaran. 

Kegagalan kerajaan PN menguruskan negara kerana banyak bermain politik mewajarkan mandat rakyat dikembalikan kepada PH supaya pembentukan suatu dasar pelaburan negara yang baharu dapat dibuat segera memandangkan PH terbukti kemampuannya ketika 22 bulan pentadbiran dengan meningkatnya FDI dan hasil negara. 

Malaysia tidak mampu terus melengahkan usaha menarik pelaburan langsung asing. Jangan sampai negara-negara serantau seperti Vietnam dan Indonesia mengambil alih kedudukan Malaysia dari aspek pelaburan dan penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi. – 18 Mac, 2021. 

* Faiz Fadzil, ahli Jawatankuasa Amanah Nasional.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen