Hospital swasta gesa suntikan vaksin lebih inklusif kepada barisan hadapan


Di bawah fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, semua barisan hadapan kesihatan dan keselamatan akan menerima suntikan vaksin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2021.

VAKSINASI Covid-19 terhadap barisan hadapan petugas kesihatan swasta tidak dijalankan sama rata, dengan doktor dan kakitangan di beberapa hospital masih menunggu giliran suntikan ketika fasa satu program imunisasi nasional hampir tamat, kata Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) .

“Kami sangat bimbang jumlah hospital swasta terpilih sedikit dan proses vaksinasi tidak konsisten di seluruh negara,” kata presidennya Dr Kuljit Singh.

“Beberapa negeri seperti Melaka belum memulai vaksinasi untuk doktor dan kakitangan hospital swasta tetapi hanya menjelang akhir bulan atau pada fasa kedua. Sebilangan hospital swasta di negeri ini merupakan penyumbang ekonomi yang besar kepada negara dan negeri dari segi pelancongan perubatan.

“Kami berharap program vaksinasi dapat ditingkatkan di beberapa negeri termasuk pantai timur Semenanjung Malaysia. Beberapa bandar kecil di Sarawak juga tertinggal dalam vaksinasi fasa satu,” katanya dalam satu kenyataan.

Malaysia memulakan imunisasi Covid-19 pada 24 Februari.

Di bawah fasa pertama, semua barisan hadapan kesihatan dan keselamatan akan menerima suntikan vaksin.

Fasa kedua dari April hingga Ogos adalah untuk kumpulan berisiko tinggi seperti warga tua.

APHM berkata pihaknya berharap lebih banyak kakitangan kesihatan swasta termasuk pengamal perubatan dibenarkan mengambil bahagian dalam fasa yang ada.

Vaksinasi Covid-19 pada masa ini kebanyakannya dijalankan oleh kemudahan Kementerian Kesihatan, dengan hanya dua hospital swasta di Kuala Lumpur terlibat dalam pemberian vaksin tersebut kepada barisan hadapan.

Perbincangan sedang berlangsung antara APHM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) bagi pengamal perubatan awam swasta berfungsi sebagai pusat vaksinasi juga.

APHM juga mahu kerajaan membenarkan hospital swasta memperoleh vaksin Covid-19 sendiri dan mengagihkannya.

Ia sekali lagi mendesak kerajaan mempertimbangkan untuk mengusulkan program vaksinasi swasta kepada mereka yang mampu membayar bagi mempercepatkan progres imunisasi nasional.

Bagaimanapun, Menteri Mosti Khairy Jamaluddin berkata vaksinasi Covid-19 jika di bawah rancangan imunisasi kerajaan, ia akan diberikan secara percuma kepada orang ramai, walaupun dilakukan di hospital swasta.

Sehingga kini sejak fasa satu dimulakan, lebih 300,000 orang sudah divaksinasi. – 18 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen