Rakyat tidak mampu bayar denda ingkar SOP, kata Pakatan 


Raevathi Supramaniam

Kadar kompaun yang dikenakan terhadap mereka yang ingkar dikatakan terlalu tinggi dan menjadi beban kepada golongan pertengahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2021.

RAMAI dalam kalangan mereka yang didenda RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard Covid-19 adalah daripada golongan pertengahan yang tidak mampu untuk membayar amaun tinggi itu, kata parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang menawarkan bantuan guaman kepada mereka yang terjejas. 

PKR, DAP dan Amanah baru-baru ini mengumumkan mereka akan menyediakan bantuan guaman kepada mereka yang didenda di bawah Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi menangani peraturan Covid-19. 

Khidmat bantuan guaman DAP dan Amanah diperluas ke seluruh negara manakala PKR hanya terhad di Johor sahaja.

Naib Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tse berkata beliau faham keperluan untuk mendidik rakyat untuk mematuhi SOP, namun denda RM10,000 terlalu tinggi terutamanya ketika rakyat berdepan kesukaran.

Sejak diumumkan pada Selasa, Puah berkata beliau menerima 35 permohonan khidmat bantuan guaman.

Puah berkata mereka yang didenda RM1,000 mengikut SOP lama turut meminta bantuan dengannya. 

“Kebanyakan mereka yang meminta bantuan adalah dari golongan B40 dan M40. Kebanyakan mereka pekerja kolar biru dan saya turut menerima permohonan daripada orang kelainan upaya,” kata Puah.

“Selepas kenyataan saya buat, mereka yang didenda RM1,000 juga meminta bantuan dengan saya.”

Beliau turut menerangkan kes seorang lelaki yang didenda RM1,000 kerana tidak memakai pelitup muka ketika membeli pisang goreng dari jirannya, yang rumahnya hanya bersebelahan.

Puah berkata beliau mengharapkan orang ramai menghubunginya untuk membolehkan beliau menyalurkan bantuan. 

“Saya menjangkakan ramai yang akan menghubungi pejabat saya dan pembantu saya dan juga ahli parti. Ada juga yang melalui parti komponen Pakatan Harapan untuk hubungi kami,” katanya. 

Puah menjelaskan mereka yang tampil untuk meminta bantuan perlu melalui proses temuduga bagi menentukan kisah mereka sahih. 

“Kami mahu membantu mereka yang benar-benar perlu bantuan, dan bukan mereka yang secara terbuka melanggar undang-undang. 
 
“Kami perlu melihat bagaimana mereka disaman dan kami perlu menemubual mereka. Sumber kami terhad, kami harus utamakan,” kata Puah. 

Pasukan Puah menawarkan bantuan kepada pihak yang didenda untuk merayu kepada Kementerian Kesihatan dan Jabatan Peguam Negara. 

“Apabila kami katakan kami menawarkan bantuan guaman, ia tidak bermakna kami akan membawa perkara itu ke mahkamah. 

“Kami boleh bantu mereka menulis surat kepada Kementerian Kesihatan atau kepada Jabatan Peguam Negara untuk meminta mereka mengurangkan atau menggugurkan kompaun, bagi membantu mereka merayu,” jelasnya.

Sekiranya rayuan gagal, Puah berkata beliau tidak akan teragak-agak membawa perkara itu ke mahkamah.

“Hukuman tidak sesuai dengan jenayah dilakukan, RM10,000 adalah jumlah yang banyak. Ini adalah perkara yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah.

“Jika mereka masih diminta untuk membayar jumlah penuh, kami akan menasihati agar ke mahkamah dan mencabarnya, dan kami akan membantu mereka secara pro bono,” katanya.

Namun, beliau menegaskan penglibatan mahkamah adalah jalan terakhir.

Setiausaha Biro Undang-undang DAP Michelle Ng berkata sejak pengumuman mereka, tujuh individu sudah meminta pertolongan.

“Setakat ini kami mempunyai tujuh kes yang direkodkan dari KL, Selangor dan Perak dalam sistem. Daripada tujuh, lima dikenakan denda RM10,000 dan dua bagi denda sebanyak RM1,000.

“Permintaan itu datang melalui hotline, borang Google dan beberapa orang menghubungi pejabat Adun atau ahli Parlimen mereka,” kata Ng.

Adun Subang Jaya itu berkata mereka didenda kerana tidak memakai pelitup muka, tidak mengimbas aplikasi MySejahtera dan merentas negeri tanpa kebenaran polis.

Beliau menambah mereka yang didenda terdiri daripada pekerja kolar biru dan juga kumpulan B40.

Bagi menentukan sama ada mereka yang meminta pertolongan mempunyai kes yang sah atau tidak, Ng berkata temu bual lanjut akan dijalankan.

“Setelah kami menerima kes tersebut, kami akan menyalurkannya kepada setiap pasukan negeri dan mereka akan menghubungi pengadu untuk menemu ramah mereka lebih lanjut. – 18 Mac, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen