Vaksin China bantu Zimbabwe perangi wabak 


Vaksin Covid-19 yang disumbangkan China untuk Zimbabwe selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Robert Gabriel Mugabe, di Harare.– Gambar EPA, 17 Mac, 2021.

BEKALAN kedua vaksin Covid-19 yang disumbangkan China untuk Zimbabwe selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Robert Gabriel Mugabe, di Harare pada Selasa.

Presiden Zimbabwe, Emmerson Mnangagwa yang turut berada di lapangan terbang itu, menzahirkan penghargaan atas bantuan tersebut.

Beliau berkata Zimbabwe merupakan negara Afrika pertama menerima sumbangan vaksin kumpulan kedua dari China, ia sekali gus mencerminkan persahabatan kukuh antara kedua-dua negara.

Pada masa sama, beliau turut positif bekalan vaksin kumpulan kedua itu akan dapat mempertingkat usaha pencegahan dan pengawalan wabak di negara itu.

Mnangagwa menyanjung usaha China untuk menjadikan vaksin Covid-19 sebagai produk awam global, yang memberi manfaat kepada negara membangun termasuk Zimbabwe.

Jelasnya, ia turut menunjukkan tekad China untuk memperkukuh kerjasama dengan pelbagai negara dalam perjuangan memerangi pandemik.

Sementara itu, Duta China ke Zimbabwe, Guo Shaochun yang turut hadir pada majlis penyerahan vaksin itu berkata, China komited menggalakkan pengagihan vaksin yang adil di seluruh dunia.

Setakat ini, China telah menyalurkan bantuan vaksin kepada 69 negara membangun dan mengeksport vaksin ke 43 negara lain, sebagai sumbangan kepada usaha sama mengatasi wabak di peringkat global.

“China menentang amalan ‘nasionalisme vaksin’ serta cubaan mempolitikkan kerjasama berkaitan vaksin Covid-19.

“Semua negara yang berkeupayaan mengeluarkan vaksin wajib membekalkannya kepada negara lain yang memerlukan terutamanya negara membangun, demi kebaikan semua,” ujar Guo.

Sumbangan vaksin kumpulan pertama tiba di Zimbabwe pada 15 Februari dan proses pemvaksinan sedang giat dilaksanakan di seluruh negara.

Sehingga Selasa, seramai 38,000 petugas barisan hadapan telah disuntik. – Bernama, 17 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen