Dr Mahathir akan jawab semua soalan dalam sesi dialog mingguan


Low Han Shaun

Segala persoalan anda boleh ditanya kepada Dr Mahathir secara terus dalam sesi dialog "HARAPAN BARU: Policy talks" yang akan diadakan setiap Rabu bermula minggu hadapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 3 Januari, 2018.

ADA apa-apa soalan untuk ditanya kepada Dr Mahathir Mohamad?

Jika ada sebarang persoalan yang selama ini terpendam, boleh terus berjumpa dan tanya dalam sesi soal-jawab dengan pengerusi Pakatan Harapan itu bermula minggu hadapan.

Waktu dan hari sesi bertajuk “HARAPAN BARU: Policy talks” diadakan akan diumumkan kelak.

Bercakap di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini, Dr Mahathir berkata beliau akan turun berjumpa dengan orang awam setiap minggu bagi menjawab sebarang persoalan berkaitan PH, dari manifesto pilihan raya akan datang sehinggalah polisi-polisi gabungan pembangkang.

“Kami nakkan maklum balas orang ramai. Kalau ditanya dalam dialog itu saya akan jawab setakat yang saya mampu, malah pasal Mufti pun anda boleh tanya,” kata Dr Mahathir di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini. 

Menurut Dr Mahathir, PH sudah merangka manifestonya. Bagaimanapun, ia masih belum diluluskan dan beberapa perkara masih perlu diteliti.

Katanya, manifesto itu berasaskan beberapa perkara:

*membantu penjawat awam

*membantu pesara kerajaan (penjawat awam, tentera, polis dan lain-lain)

*menambah baik ekonomi Bumiputera

*menangani peningkatan kos sara hidup

*menangani korupsi

*membantu anak muda

*memperkasa wanita

*mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing

*membentuk pekerjaan dan perniagaan baru

*mengembalikan kedaulatan Malaysia

“Sepertimana kita tahu tiap-tiap saat, almost, perkara bertukar. Macam-macam perkara baharu yang kita tidak sangka berlaku.

“Umpamanya mereka lancarkan IMAMS, pagi lancar, petang batal. Ini menunjuk betapa tidak cekapnya (mereka) kerana ini dibincang dalam Kabinet dan diperkenalkan kepada Parlimen tetapi tak fikir mendalam, sebab itu mereka terpaksa batal,” kata Dr Mahathir.

Mengambil contoh sistem kehakiman negara, Dr Mahathir berkata cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman perlu dipisahkan sepenuhnya bagi mengelak konflik kepentingan.

“Kita dapati kadang-kadang benda yang jelas, tidak betul dibuat keputusan. Jadi kita sangka mungkin ada pengaruh.

“Umpamanya pegawai tidak boleh sembunyi evidence. Kita dapati ada tiga buah laporan daripada BNM, MACC, PAC dia ni disembunyi (dibawah Akta Rahsia Rasmi (OSA),” katanya lagi.

Dr Mahathir mengatakan OSA digunakan secara salah untuk melindungi penjenayah sedangkan ia perlu digunakan dalam keputusan berkaitan diplomatik.

“Seperti kita sedang cuba menjalinkan hubungan dengan negara tertentu, jadi kita terpaksa tunggu sebentar sebelum dedahkan (maklumat).

“OSA bukan untuk sembunyi evidence of crime. Jadi kita dapati AG (peguam negara) nampak buat kebenaran yang carak, tetapi dia salah guna kuasa, sebab AG yang boleh membawa kes ke mahkamah.”

Menyentuh mengenai dakwaan pada Julai tahun lepas yang beliau merancang menggulingkan kerajaan, Dr Mahathir mengakui yang beliau cuba menyingkirkan kerajaan sekarang menerusi proses demokratik.

Presiden Pertubuhan Minda & Sosial Prihatin Malaysia, Ramesh Rao tahun lepas membuat laporan polis ke atas Dr Mahathir menuduhnya cuba menyingkirkan kerajaan.

“Di seluruh dunia, rakyat menyingkirkan kerajaan yang teruk, saya tak ada niat apa-apa. Apa yang saya cakap adalah jika kerajaan anda teruk, singkirkan melalui proses demokratik.

“Malah di negara autokratik, rakyat cuba singkirkan kerajaan. Tetapi budak bodoh ini yang tak faham politik kata saya cuba gulingkan kerajaan.

“Dah tentu saya cuba singkirkan, ini adalah kerajaan kleptokratik. Budak ini mahu seorang kleptokrat mungkin kerana dia dapat duit daripada mereka,” katanya.

Dr Mahathir juga mengatakan Malaysia kini mempunyai hutang mencecah AS$900 bilion dan akan muflis sekiranya terus ditadbir Najib.

Menyentuh isu Ketua Umum PH, Anwar Ibrahim yang memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan perkenan Yang Di Pertuan Agong, katanya beliau tidak diberitahu tentang niat Anwar itu.

“Kami tak bincangkan perkara ini, tetapi kami mahu tahu sebab mengapa dia berbuat demikian dan jika ia sesuai dengan perjuangan PH, kami akan ambil dan sokong,” jelasnya.

Anwar memohon untuk membatalkan peruntukan dalam tiga akta yang menyebabkan kuasa Agong dinafikan sejak 1993 selepas pindaan Perkara 66 (4) Perlembagaan Persekutuan. Tiga peruntukan tersebut adalah Seksyen 12 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1983 (Akta A566), Seksyen 2 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1984 (Akta A584) dan Seksyen 8 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1994 (Akta A885).

Pindaan itu dibuat ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri dan Anwar sebagai timbalan perdana menteri. – 3 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen