Mengapa ramai mempertikaikan usul darurat oleh eksekutif?


USUL darurat kali pertama dibentang pada Oktober 2020. Latar belakangnya ialah sidang Dewan Rakyat akan berlangsung antara 2 November hingga 17 Disember 2020.

Keputusan menolak usul darurat ini telah diumumkan oleh pihak Istana Negara selepas mengambil kira pandangan Majlis Raja-Raja. Kita tidak lupa usul ini dikemuka secara tergesa-gesa apabila rombongan eksekutif bersama beberapa pegawai tinggi kerajaan ke Pahang untuk bertemu Yang di-Pertuan Agong.

Dalam kata lain, usul darurat yang dikemukakan ketika itu mmg bertujuan utk menggantung sidang Parlimen. Dan ini bukanlah cubaan pertama Perikatan Nasional (PN). 

Terlebih dahulu, sidang pada bulan Mac 2020 telah ditunda ke bulan Mei 2020. Sidang Mei 2020 pun hanya melibatkan titah Yang di-Pertuan Agong.

Di sini, kita boleh membuat sedikit perbandingan. Mengapa darurat perlu diusul sedangkan Parlimen hanya wajib melaksanakan sidang dalam tempoh 6 bulan selepas sidang terakhir dijalankan; dan usul memprorog Parlimen boleh dibuat kemudian sekiranya tempoh ini hampir berakhir.

Kita tahu sebelum darurat diumumkan, satu siaran telah dibuat di mana perdana menteri mengumumkan beberapa pendekatan bagi menangani kes yang semakin tinggi ketika itu (kebanyakan di Pusat Tahanan – menimbulkan persoalan tentang perosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan – dan pernah dibangkitkan termasuk oleh Al Jazeera dulu).

Hanya sehari kemudian, tiba-tiba darurat diumumkan. Maka bersoraklah penyokong-penyokong PN kerana ia menunjukkan Istana Negara memihak kepada mereka. Berhujahlah mereka tentang kepentingan darurat untuk menggantung proses Parlimen.

Mengambil kira darurat sebagai satu usul yang amat serius dan pendekatan baru kerajaan susulan dakwaan pertambahan mendadak kes, tentulah ia mesti disertai dengan langkah-langkah kawalan yang lebih ketat bersama program-program bantuan baru dan lebih intensif kepada rakyat. 

Malangnya ini tidak berlaku!

Sebaliknya pihak eksekutif berhujah pula tentang keperluan membuka pelbagai sektor ekonomi secara besar-besaran. Di sini jelas menunjukkan bahawa usul darurat yang dikemukakan tidak lebih daripada usaha terdesak menggantung proses sah Parlimen dan corak ini boleh dilihat sejak Mac 2020.

Tambahan pula sekitar tempoh darurat diumumkan, satu demi satu ahli Parlimen Uumno (yang selama ini menjadi pelengkap sokongan terhadap kerajaan PN) mengisytiharkan secara terbuka rasa hilang percaya kepada perdana menteri dan menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan.

Maka darurat yang dikatakan tempoh untuk menggantung aktiviti politik bagi memberi tumpuan kepada tindakan menangani Covid-19 jelas menunjukkan sebaliknya. PN terus mencari sokongan tambahan, malah menggantung Parlimen atas nama darurat menjadi satu tindakan politik.

Apabila Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa pengumuman darurat sebelum itu tidak bermaksud menggantung Parlimen, jelas di situ eksekutif telah menyalahgunakan maksud pengumuman Darurat. 

PN telah kehilangan asas moral dan perundangan untuk mempertahankan sikap mereka dalam hal ini.

Dalam sejarah, ketika Darurat diumumkan antara 1948-1960, dua pilihan raya umum dijalankan. Proses legislatif terus berjalan. Usul Darurat di Kelantan pada 1970-an dibawa oleh perdana menteri ke Parlimen untuk dibahas. Begitulah bezanya pengasas-pengasas negara menjalankan urusan amanah mereka.

Alasan PN untuk meneruskan usul darurat kerana keperluan melentur sejumlah undang-undang yang menghalang tindakan tertentu sebenarnya mendedahkan lagi kecuaian mereka dalam menjalankan tugas eksekutif. 

Selama setahun, dengan jumlah pelantikan eksekutif yang luar biasa, PN gagal dan mengecewakan. Tidak ada RUU yang dibawa untuk tujuan ini dalam sidang Mei, Julai-Ogos dan November-Disember.

Kegagalan PN ini sebenarnya telah bermula sejak awal apabila perdana menteri tidak mengemukakan usul percaya. Kemudian, menghentikan dan mengubah proses reformasi yang telah mula dijalankan dalam beberapa hal. Lebih malang lagi, PN menjadi sebuah kerajaan yang tidak mempunyai cita-cita reformasi.

PN perlu lebih bertanggungjawab. Tamatkan darurat. Mulakan sidang Parlimen. Uji keabsahan PM sekarang. Buat kerja. – 17 Mac, 2021. 

* Amin Ahmad ialah ahli Parlimen Kangar.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen