Jadilah pemikir dan pelayar perubahan


MENJADI penggerak dan pencinta perubahan adalah sesuatu yang tidak pernah berhenti dan terhenti.

Wacana berkait reformasi itu seringkali tiada noktahnya malah kita akan sentiasa dahaga diskusi baru berkaitannya.

Ya, namanya pun perubahan, masakan iaa ada tarikh luput selagi mana hidup idea-idea yang sakral atau sebaliknya.

Mungkin saja yang mati adalah minda dan jiwa mereka yang tidak mahu berfikir.

Materi akal diulang sebanyak 49 kali di dalam al-Quran. Malah perintah supaya manusia itu berfikir dan menghayati sesuatu itu termaktub sebanyak 100 ayat yang direkodkan kepada mukjizat besar Nabi Muhammad iaitu al-Quran.

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?” - Al-Qamar:17.

Begitulah peri pentingnya akal untuk manusia bijak mengaplikasikannya dalam kehidupan dizaman yang penuh mehnah dan tribulasi.

Kerosakan umat itu bukan berlaku kerana faktor luarannya, tetapi terbit daripada pengaruh dalamannya sendiri.

Jika kita sebagai Muslim menelusuri watak-watak dalam membawa gagasan revivalisme terhadap manusia di era mereka, maka tidak mustahil untuk kita juga menuju ke matlamat yang sama iaitu perubahan.

Pemikir seperti Muhammad Asad, Buya Hamka, Za’ba, Kyai Achmad Dahlan, Syed Sheikh Al-Hady, Sheikh Tahir Jalaluddin dan ramai lagi, mereka ini nama yang menyonsong arus hampir seluruh usia mereka bagi memperjuangkan pemikiran baru yang lebih segar dan progresif kepada umat.

Muhammad Asad misalnya boleh dijadikan sosok contoh reformasi pemikiran yang tuntas.

Asad bukanlah lahir daripada keluarga yang nuansanya Islam dan Arab. Malah beliau adalah seorang berketurunan yahudi yang mana kebanyakan tradisi susur galurnya adalah rabbi (ketua agama Yahudi).

Setelah melalui fasa remaja yang penuh cabaran, Asad memilih memeluk Islam ketika usianya 26 tahun.

Asad atau Leopold Weiss menjadi bukan sahaja pemikir kepada pembaharuan, malah dia juga menjadi pelayaran kepada perubahan itu.

Asad mula berkelana ketika melarikan diri dari rumah saat usianya belasan tahun. Memerhati dan meniliti pemikirannya yang dipandang kaget oleh sebahagian pihak dalam Islam adalah sesuatu yang bisa kita duga.

Pusingan pemikiran umat kita hari ini hanya memahami agama secara kosmetik, luaran dan zahir.

Bagi Asad, sikap menyalahkan barat di atas apa yang menimpa dunia Islam dulu dan hari ini adalah suatu pemikiran sempit mereka yang berada di kelas “ulama”.

Inilah yang sering penulis sebutkan bagaimana umat Islam hari ini menerima mentah apa saja yang disampaikan oleh mereka yang berbaju agama.

Awal abad ke-19, seorang pegawai British didalam bukunya yang bertajuk Malay Sketches, Sir Frank Athelstane Sweettenham memberi gambaran yang masyarakat Melayu terdahulu memeluk agama Islam masih lagi mengamalkan amalan khurafat pada ketika itu.

Pada ketika inilah muncul pelopor perubahan kepada minda dan sikap umat Islam di Malaya ketika itu.

Lapor Swettenham dalam jurnalnya juga menceritakan umat Islam ketika itu taat pada agama. Tetapi tetap suka berjudi dan mengumpat.

Maka timbul pula nama Syed Syeikh Al-Hady dan Sheikh Tahir Jalaluddin dalam konteks Malaya.

Mereka berdua ini merupakan penyambung pemikiran Afghani dan Abduh ketika itu.

Pertembungan kaum tua dan kaum muda yang dinamai oleh Buya Hamka menjadi sesuatu permulaan akan reformasi pemikiran umat di dalam negara ini pada masa itu.

Di bawah adalah huraian yang dimaksudkan Buya Hamka berkaitan kaum tua:

“Golongan ulama tua yang memandang ke zaman lampau, masih di takuk lama dengan pemikiran tradisional ulama silam yang tidak memberatkan perkembangan pemikiran pada zaman moden.” (Hamka, Said Djamaluddin al-Afghani-Pelopor Kebangkitan Muslimin,1970)

Begitulah hebatnya tokoh-tokoh pemikir dan pelayar perubahan kepada minda yang naratifnya Muslim.

Asad, Sheikh Al-Hady, Buya Hamka dan seangkatannya berusaha dan bersemangat untuk berkongsi pandangan untuk umat di rantau ini umumnya dan khusus di negara ini berani untuk mengubah nasib kehidupan mereka dengan tidak bergantung kepada manusia lain.

Gunalah akal yang diberi kebolehan oleh Sang Pengcipta untuk kita semua berfikir dan memahami.

Lihat junjungan Nabi Muhammad berdiplomasi dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah.

Baca dan contohi negosiasi yang dipandu Baginda, akhirnya hikmah daripada toleransi yang ditonjolkan memberikan respons cukup baik. Islam itu sifatnya membawa rahmat ke seluruh alam.

Moga perubahan yang mahu disampaikan boleh diterjemah dengan tindakan yang baik untuk digunakan dalam kita memastikan masyrakat ini senantiasa berfikir dan memahami.

“Jiwa manusia itu mati bila akalnya tidak berfungsi.” – 3 Januari, 2018.

* Muhammad Syafiq Azmi ialah ketua Pemuda Amanah Melaka.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen