.jpg)
KENYATAAN Presiden Amanah Mohamad Sabu menyifatkan pemimpin yang boleh dijual beli bakal mendatangkan ancaman kepada negara harus dianggap sebagai sesuatu yang serius.
Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata demokrasi mesti dihormati iaitu yang majoriti menjadi pemerintah manakala minoriti menjadi pembangkang walaupun dalam masa sama mengakui pilihan raya tidak sempurna.
“Apabila wakil rakyat boleh dijual beli di pasaran politik negara, maka tidak mustahil wakil rakyat juga boleh dibeli di peringkat antarabangsa yang ianya merupakan ancaman kepada negara,” katanya dalam kenyataannya.
Ini berikutan pengkhianatan blok Azmin Ali dari PKR dan kumpulan Muhyiddin Yassin dari Bersatu yang menyaksikan ahli politik yang tewas pada PRU14 akibat rasuah dan salah guna kuasa kembali menduduki kerajaan.
Langkah Dr Xavier Jayakumar mengumumkan keluar parti yang disertainya sejak 1998 selepas dua Ahli Parlimen PKR Larry Sng (Julau) dan Steven Choong (Tebrau) meninggalkan parti itu pada penghujung Februari lalu.
Perkembangan terbaru ini juga menyaksikan PKR kini hanya memiliki 35 ahli Parlimen berbanding 47 kerusi yang dimenananginya pada pilihan raya umum lalu.
Persoalannya adakah representasi (perwakilan) ahli politik dalam Parlimen merupakan model terbaik sistem demokrasi sekarang.
Setelah menjadi ahli Parlimen yang dipilih rakyat, ada kalangan mereka yang bertindak ikut nafsu dan kepentingan dalam sesuatu keputusan tanpa merujuk kepada rakyat.
Sepatutunya rakyat yang mengundi mereka itu adalah yang berada di atas dan ahli Parlimen berada di bawah mengikut telunjuk rakyat.
Dalam hal ini kefahaman mudah bagi sistem representasi berparlimen adalah mewakili rakyat yang minta diwakilkan.
Dalam hal ini terdapat tiga konsep berkaitan dengan representasi iaitu pertama, pictorial representation, mereka yang dipilih untuk mewakili rakyat harus mengikut kehendak yang diwakilinya.
Kedua, theatrical representation, wakil yang dipilih harus menafsirkan, berbicara dan bertindak bagi pengundi yang diwakilinya.
Ketiga, juridical representation, wakil yang dipilih harus bertindak atas nama yang mereka wakilinya dengan persetujuan demi kepentingan bersama.
Sejauh manakah ketiga-tiga konsep di atas berperanan atau relevan buat ahli Parlimen kita? Adakah tindakan keluar dan melompat parti berkaitan dengan ketiga-tiga pemahaman konsep representasi di atas?
Terdapat beberapa kes ahli Parlimen semasa pilihan raya begitu lantang berceramah di pentas menjadi suara rakyat dan bekerja demi rakyat namun setelah menang dalam pilihan raya berbagai langkah yang mereka lakukan tidak mengambarkan mereka mewakili rakyat malah mereka mengkhianati mandat dan amanah yang rakyat berikan kepada mereka.
Melalui kaedah representasi, sistem demokrasi menghadirkan pemilihan umum iaitu pilihan raya sebagai instrumen penting bagi proses siasah di negara ini. Namun, pilihan raya tidak semestinya mengambarkan kita melalui tata pemerintahan demokratik.
Aspek tanggungjawab dan amanah ahli Parlimen sepatutnya memaparkan tata pemerintahan atau urus tadbir yang baik dalam sistem demokrasi tersebut. Dalam hal ini tata pemerintahan tersebut harus memberi ruang dan memperkasakan rakyat dalam mengartikulasi kepentingan dan memperluas keterlibatan mereka dalam pengambilan keputusan bagi menikmati kehidupan bersama secara umum.
Permasalahannya konsep representasi yang menumpukan kepada perwakilan ahli Parlimen tidak tertumpu kepada pihak yang diwakili tetapi kepada pihak yang diwakili.
Setelah menang dalam pilihan raya ahli Parlimen tidak seharus menjadi raja dan boleh membuat apa saja yang mereka suka tanpa bertanggungjawab kepada rakyat yang memilih mereka.
Ini kerana tata pemerintahan yang baik merupakan gandingan ahli Parlimen-rakyat yang memungkinkan lahirnya kebijasanaan bersifat inklusif bukannya bergantung kepada penasihat dengan komisen 25% saja.
Demokrasi memang bukan semata-mata mengenai pilihan raya, ia merupakan partisipasi masyarakat. Masalahnya sekarang kekuasaan dalam demokrasi representasi tidak terletak kepada rakyat tetapi di bawah naungan parti di mana kekuasaan diputuskan oleh sekelompok elit oligarki yang tidak memiliki kepentingan untuk memajukan demokrasi.
Salah satu kritikan paling asas dalam perkembangan demokrasi di Malaysia adalah ia gagal membawa kesejahteraan kepada rakyat.
Perkara ini mungkin boleh didebat tetapi perhatikan siapa yang menguasai kek ekonomi di negara ini jika tidak kelompok oligarki politik dan perniagaan yang ada kaitan dengan elit kepimpinan itu sendiri. Kes mahkamah yang didakwa atau sedang dalam proses penghakiman menunjukkan jumlah dana yang besar dimiliki mereka.
Bagaimana seseorang ahli politik boleh membeli syarikat bursa saham misalnya, di manakah beliau memperolehi wang dan adakah ahli parlimen juga berniaga dalam kehidupan politiknya? Tidakkah mereka harus tunduk kepada kehendak rakyat dan bukannya kepada bidang yang bersifat peribadi walaupun terdapat alasan bahawa dengan keuntungan itu boleh membantu rakyat yang berada di bawah Parlimen masing-masing.
Bagaimanakah mereka menceburi bidang perniagaan, adakah menggunkah proksi dan bagaimana mendapat tender, adakah pengaruh politik atau lantikan politik dalam korporat kaitan kerajaan?
Oleh itu demokrasi digugat kerana telah berubah menjadi instrumen pengumpulan kemakmuran elit politik, meninggalkan bahagian terbesar rakyat menikmati kesengsaraan dan terperuk dalam pusaran kemiskinan dengan jebakan pergantungan.
Oleh itu demokrasi semacam suatu bentuk demokrasi prosedural sahaja iaitu pilihan raya empat atau lima tahun sekali. Seolah-olah ”wave of democracy” di mana keputusan rakyat yang memilih PH pada PRU14 sebagai ”perjalanan tidak kesampaian ” bahkan ”perjalanan yang melencong” dengan Langkah Sheraton.
Apa yang dilalui sekarang ialah demokrasi penyimpangan daripada cita-cita reformasi dan kembalinya kepada model ”soft authoritarianism”.
Dalam hal ini pertama, walapun kita mengatakan telefon bimbit adalah alat kepada golongan lemah dan tertindas untuk bersuara, negara kita masih berdemokrasi dalam situasi ketiadaan demos dan keawaman.
Demos sebagai warga aktif politik yang praktikal merupakan sesuatu yang langka dalam realiti politik negara. Apa yang ada adalah kekelompokan dan wilayah perluasan peribadi, keluarga dan geng sebagai ranah kolektif pengaruh dalam kawasan parlimen dan negeri.
Kedua, rakyat tenggelam di bawah bayang-bayang media sosial nyaring berpesanan di Whatsapp, Twitter atau FB sebagai kecenderungan baharu dalam berdemokrasi di mana “pencitraan politik” sebagai skala keutamaan tetapi masih menjadi majoriti yang diam jika ahli politik melakukan sesuatu yang mengkhianati rakyat.
Ketiga, sikap tidak bertanggungjawab, pecah amanah, khianat bangsa dan negara merupakan karakter dan ciri antara kalangan ahli politik atau ahli parlimen sekarang. Adakah ini melambangkan politik representasi masih diperlukan dalam sistem demokrasi di negara ini?
Kita harus memahami salah satu definisi dari demokrasi bersandarkan kepada majoriti tipis yang didasarkan pada prinsip “one person, one vote”.
Selain suara majoriti, tidak lupa mereka yang minoriti atau kelompok terabaikan seperti kaum dan etnik kecil, kaum petani, pekerja elektronik, buruh kasar dan pekerja gerai, gelandangan, mereka yang bergaji hari dan seumpamanya.
Terdapat apa yang ditakrifkan sebagai democratic audit yang mengenal pasti sejauh manakah kuasa rakyat dan kesetaraan politik sebagai dua kunci dari prinsip demokrasi dan menggunakannya untuk menilai demokrasi semasa.
Mungkin diperlukan demokrasi gabungan atau percampuran antara partisipatori dan representasi dalam sistem berparlimen di negara ini supaya wujud “check and balance”.
Partisipasi atau penglibatan yang wakilnya adalah daripada kumpulan pekerja, kumpulan warga, golongan profesional, tetapi bukannya sekadar partisipasi politik secara dalam talian. Ia sebagai menyaingi mereka yang berada di bawah payung parti politik, partisipasi atau penglibatan daripada pertubuhan, rangkaian, organisasi, pertubuhan, persatuan dan kumpulan organisasi bukan kerajaan (NGO).
Dewan Negara yang diwakili kumpulan partisipati rakyat hanya sebagai “rubber stamp” tidak begitu berpengaruh dalam menolak rang undang-undang atau menentukan keputusan politik negara melainkan jika ada kepentingan tertentu. – 16 Mac, 2021.
* Ismail Hashim Yahaya ialah pensyarah Unisel.
Komen