Taliban bakal sertai rundingan damai Afghanistan di Moscow


Kepimpinan Taliban dan Kabul akan bertemu di Rusia menjelang tarikh akhir Presiden AS Joe Biden untuk memutuskan sama ada akan mengakhiri penglibatan tentera selama dua dekad di Afghanistan. – Gambar EPA, 16 Mac, 2021.

ANGGOTA kanan Taliban akan menghadiri rundingan dengan kerajaan Kabul di Moscow minggu ini untuk membincangkan masa depan Afghanistan yang dilanda perang, kata kumpulan pemberontak itu pada Isnin.

Kedua-dua pihak akan bertemu atas undangan Rusia menjelang tarikh akhir Mei bagi Presiden AS Joe Biden untuk memutuskan sama ada akan mengakhiri penglibatan tentera selama dua dekad di Afghanistan.

Jabatan Luar Negeri AS pada Isnin berkata utusan khas Washington ke Afghanistan, Zalmay Khalilzad, juga akan menghadiri pertemuan di Moscow sebagai sebahagian daripada usaha AS “menggalakkan dan menyokong proses perdamaian.”

Rundingan pada Khamis “akan melengkapkan semua usaha antarabangsa lain untuk menyokong proses perdamaian Afghanistan, dan juga mencerminkan keprihatinan masyarakat antarabangsa mengenai kemajuan hingga kini,” kata jurucakap Jabatan Negara, Jalina Porter kepada wartawan.

AS menggesa kepemimpinan Afghanistan berusaha mewujudkan kerajaan “inklusif” dan perjanjian damai ketika kebimbangan kemunculan aktif Taliban selepas tentera AS pergi.

“Delegasi peringkat tinggi dari 10 anggota Emirate Islam Afghanistan, yang diketuai oleh (pengasas Taliban) Mullah Baradar Akhund ... akan menghadiri pertemuan yang diadakan di Moscow,” tweet Mohammad Naeem, jurucakap pejabat Taliban di Qatar.

AS walaupun mempunyai hubungan tegang dengan Rusia, menyambut baik peranan Moscow dan juga berunding dengan satu lagi pesaingnya, China.

Biden sedang mengkaji sama ada akan meneruskan perjanjian dengan Taliban yang dirunding oleh pendahulunya Donald Trump yang ingin menarik pasukan AS terakhir dari Afghanistan menjelang Mei.

Pentadbiran Biden memberi isyarat beliau ingin mengkaji perjanjian Trump dan kesannya terhadap Afghanistan dan kestabilan wilayah.

Setiausaha Negara AS Antony Blinken menulis sepucuk surat kepada para pemimpin Afghanistan yang menggesa mereka mempertimbangkan “pemerintahan baharu yang inklusif”.

Beliau juga mencadangkan agar perbincangan diadakan dalam beberapa minggu di Turki untuk menandatangani perjanjian damai yang komprehensif dengan Taliban.

Turki merancang mengadakan persidangan damai Afghanistan di Istanbul pada April, kata Menteri Luar Negeri Mevlut Cavusoglu minggu lalu.

Inisiatif Rusia dan Turki akan diteruskan seiring perbincangan yang diadakan oleh Qatar antara kerajaan Afghanistan di Doha yang sedang berlangsung dengan penangguhan beberapa lama sejak September 2020.

Cavusoglu memberi isyarat beliau tidak semestinya mengharapkan pertemuan di Istanbul dapat menghasilkan kejayaan segera. – AFP, 16 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen