SEKURANG-KURANGNYA 36 orang maut di Peru selepas bas dinaiki bertembung dengan sebuah trak di laluan berbahaya yang dikenali sebagai “selekoh setan” dan menjunam ke tebing tepi laut pada Selasa.
Bas itu bergerak dari Huacho, 130km di utara ibu negara, ke Lima dengan 53 penumpang ketika ia terjunam sedalam 100 meter sekitar tengah hari.
“Seramai 30 mayat sudah ditemui dan enam masih terperangkap,” kata Kolonel Dino Escudero, ketua bahagian polis peronda lebuh raya.
Beliau sebelum ini memberi angka sekurang-kurangnya 25 orang terkorban tetapi berkata jumlah mangsa mungkin meningkat.
Sebuah helikopter polis membawa beberapa pekerja penyelamat ke lokasi bangkai bas manakala yang lain terpaksa turun dengan menggunakan tali.
Tentera laut menghantar sebuah bot ronda untuk membantu para penyelamat yang cuba mengeluarkan semua mangsa sebelum air naik.
Sekurang-kurangnya enam orang disahkan selamat.
Maria Elena Aguilar, pengarah Hospital Alcides Carrion di El Callao, berkata pihaknya menerima lima pesakit dengan pelbagai kecederaan.
Seorang mangsa yang masih hidup dibawa ke sebuah hospital lain.
Kemalangan itu berlaku di lebuh raya pantai kira-kira 45 kilometer di utara ibu kota Lima, kata Escudero.
Lebuh raya Pasamayo yang dilalui bas malang itu hanya digunakan oleh trak dan bas, kerana kereta melalui jalan berbeza.
Ia adalah jalan berbukit laut berbahaya dengan kabus dan kelembapan yang tinggi, menyebabkan jalan raya licin.
Pemandu bas berkenaan berpengalaman dan bersama pembantunya, kata Luis Martinez, daripada syarikat bas, Transportes San Martin de Porres.
Martinez tidak dapat mengesahkan sama ada pemandu terbunuh atau cedera, tetapi berkata bas itu sudah menjalani pemeriksaan mekanikal sebelum bergerak meninggalkan Huacho.
Lebih 2,500 orang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Peru pada 2016, menurut angka rasmi. – AFP, 3 Januari, 2018.
Komen