Potong, bukan batalkan cuti sekolah tahun ini, kata kumpulan ibu bapa


Hailey Chung Wee Kye

Ibu bapa berkata kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mengurangkan jumlah cuti sekolah, bukan membatalkannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2021.

IBU bapa berharap Putrajaya tidak membatalkan cuti sekolah bagi memberi masa kepada pelajar mengikuti pembelajaran mereka.

Sebaliknya, ibu bapa memberitahu The Malaysian Insight, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mengurangkan jumlah cuti sekolah.

Tambah mereka cuti sekolah diperlukan untuk menjaga kesejahteraan anak-anak dan guru mereka.

Mereka merujuk kepada cadangan Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (Mimbar) yang meminta Kementerian Pendidikan membatalkan semua cuti sekolah tahun ini.

Presiden Mimbar Seri Ismalina Ismail memberitahu Astro Awani ibu bapa memohon langkah itu agar anak mereka dapat mengikuti pembelajaran setelah setahun tertinggal kerana Covid-19.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Melaka bagi Ibu Bapa Dalam Pendidikan (Magpie) Melaka Mak Chee Kin berkata pelajar memang sudah terlalu lama bercuti.

“Bagaimanapun, setelah berminggu-minggu sekolah, mereka masih memerlukan rehat. Oleh itu, saya akan mencadangkan cuti yang lebih pendek.

“Hapus cuti 26 Mac hingga 3 April kerana sekolah sudah atau akan bermula. Memendekkan cuti 28 Mei hingga 6 Jun hingga akhir 4 Jun.

“Singkatkan juga cuti 19 September hingga 30 September hingga agar cuti itu berakhir pada 24 September.”

Mak mencadangkan cuti 16 Julai hingga 24 Julai dan cuti 10 Disember hingga 31 Disember kekal.

Sementara itu, Parent Action Group for Education Malaysia (Page) bersetuju dengan Magpie.

“Memansuhkan semua cuti sekolah akan jadi terlalu melampau sebab guru perluakan rehat juga,” kata ketua Page Noor Azimah Abdul Rahim.

“Tetapi perlu korban cuti sekolah rendah atau pendekkan tempoh cuti.”

Masa lebih bagi membolehkan pelajar kejar dan belajar atau bahkan belajar semula apa yang tidak sempat secara mendalam, katanya.

Di samping itu, beliau berkata tempoh itu akan mengurangkan beban ibu bapa yang turut sibuk membantu anak belajar.

“Ibu bapa perlu fokus dengan pekerjaan supaya bil dapat dibayar dan makanan boleh dihidang.”

Albert Chong Yew Yee, ibu bapa kanak-kanak berusia 16, 15 dan 10 tahun juga bersetuju untuk memendekkan cuti sekolah.

“Tak semua pelajar ada disiplin yang sama ketika belajar tanpa pengawasan.

“Ada yang mungkin ponteng kelas, berpura-pura menghadiri kelas tetapi bermain permainan dengan mematikan kamera.”

Katanya sebilangan ibu bapa yang bekerja memerlukan “masa rehat” lebih lama daripada anak-anak mereka yang telah berada di rumah sepanjang hari sejak perintah pergerakan.

“Anak-anak juga perlukan masa yang lebih lama untuk menyesuaikan diri dengan interaksi sosial di sekolah setelah terkurung untuk tempoh yang lama.”

Samantha Yeoh, jurulatih keibubapaan dan ibu kepada kanak-kanak berusia empat, lima, dan tujuh tahun berkata beliau akan lega jika kerajaan membatalkan semua cuti sekolah tahun ini untuk murid lebih muda.

“Pada masa ini, murid sekolah rendah tersekat di meja dan tempat duduk mereka kecuali jika perlu ke tandas. Walaupun pada waktu rehat, makanan dibawa kepada mereka.

“Interaksi sosial mereka sudah terbatas sekarang, dan sebahagian keseronokan itu sudah hilang.”

Beliau juga mengingatkan ibu bapa kejayaan bukan hanya dari segi akademik.

“Saya perhatikan, sebagai contoh, ibu bapa kanak-kanak tahun dua bimbang anak mereka tidak belajar apa-apa tahun lalu.

“Ada semacam tekanan dengan persepsi dan cara pikir bahawa anak-anak mereka harus lebih baik daripada anak tahun satu sekarang.

“Anak-anak yang kehilangan satu atau dua tahun pelajaran sebenarnya baik-baik saja, mereka akan dapat belajar dengan mudah tidak lama lagi.”

Katanya, penting bagi anak untuk mendapatkan musim cuti sekolah.

“Ia seperti sebahagian kehidupan, bukanlah mereka tidak mendapat pengalaman apa-apa bila cuti,” kata Yeoh. – 15 Mac, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen