Belajar melawan Covid-19 dari Korea, Taiwan


MENGENANG setahun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin pada Mac tahun lalu, suka saya mulakan dengan memetik kata-kata Dr. Kuldip Kaur, Pengarah Hospital Sungai Buloh: “Setakat ini gelombang ketiga (pandemik Covid-19) yang paling mencabar…”

Gelombang ketiga yang beliau maksudkan adalah ketika kes Covid-19 dengan tiba-tiba naik melonjak ke angka yang di luar kebiasaan sebelumnya.

Jika kita semak corak jumlah kes harian di Malaysia sejak setahun lepas, sebelum gelombang ketiga melanda, angka kes harian adalah dalam 2 digit, sekitar bawah 100 kes setiap hari.

Tetapi apabila gelombang ketiga melanda di hujung September 2020, angka kes harian kita melonjak menjadi 260 kes pada 1 Oktober 2020.

Dan sejak daripada itu, jumlah kes harian yang dilaporkan tidak pernah lagi mencecah 2 digit, tetapi hanya sekitar ratusan hingga ribuan kes. Kes terus meningkat sehingga mencecah paling tinggi sebanyak 5,728 kes sehari pada awal Januari 2021 dengan jumlah kes sehingga hari ini adalah sebanyak 315,000 kes.

Hal ini menyebabkan kita mula merenung tentang sebab yang menjadi faktor melonjaknya kes Covid-19 ini di penghujung September 2020 yang sehingga hari ini belum lagi reda kepada angka 2 digit sehari seperti sebelum gelombang ketiga.

Dalam laporan Kementerian Kesihatan Malaysia bertarikh 16 Disember 2020, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan merakamkan bahawa gelombang ketiga yang bermula pada 20 September, telah bermula di negeri Sabah.

Kita sedar bahawa dalam tahun lepas, sekitar bulan September, ada acara besar yang berlaku di negeri Sabah iaitu pilihan raya negeri Sabah (PRN Sabah).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan PRN Sabah akan diadakan pada 26 September 2020 dan tempoh kempen pilihan raya selama 14 hari bermula dari 12 September sehingga 25 September 2020.

Ada yang mengaitkan pelaksanaan pilihan raya ini adalah penyebab utama berlakunya lonjakan kes harian Covid-19 yang berlaku sejurus selepas PRN Sabah.

Persoalannya, adakah perkaitan bahawa pilihan raya adalah penyebab kepada berlakunya lonjakan kes Covid-19 ini benar? Jika benar, maka pengalaman ini juga turut dikongsi wilayah atau negara lain yang melaksanakan pilihan raya di negara mereka.

Jika kita semak pengalaman negara lain yang juga mengadakan pilihan raya di waktu wabak Covid-19 masih belum reda, kita akan dapati pengalaman yang berbeza.

Saya ingin memetik corak taburan kes Covid-19 di sebuah negara yang turut mengadakan pilihan raya di seluruh negaranya iaitu negara Korea Selatan.

Korea Selatan telah mengadakan pilihan raya perundangan di seluruh negara pada 15 April 2020.

Selepas pilihan raya diadakan, didapati corak taburan kes harian Covid-19 di negara itu tidak berubah. Kes harian di sana, hanya berada pada angka 2 digit, sekitar bawah 100 kes selama 120 hari selepas itu ataupun selama 4 bulan berturut-turut.

Ini sangat berbeza dengan pengalaman kita di PRN Sabah, di mana lonjakan kes harian terus dapat dikesan dalam 5 hari selepas pilihan raya dijalankan.

Soalannya, apakah ada perbezaan amalan dalam pilihan raya di Korea Selatan dengan pilihan raya di Sabah?

Berdasarkan berita dan laporan berkenaan dengan pelaksanaan pilihan raya di Korea Selatan, saya merumuskan pelaksanaan di sana dijalankan dengan peraturan dan amalan pencegahan yang ketat.

Kita difahamkan bahawa selain daripada Tatacara Kendalian Seragam (SOP) yang ketat diamalkan semasa pilihan raya dijalankan, kaedah kempen pilihan raya di Korea Selatan juga dilaporkan berubah, sesuai dengan langkah pencegahan yang tegas.

Di Korea Selatan, semasa kempen politik berjalan, amalan penjarakan sosial yang tegas diamalkan. Para calon pilihan raya menyantuni masyarakat dengan penjarakan sosial, pelitup muka juga sarung tangan, menggantikan perhimpunan ramai. Pelbagai kempen beralih saluran daripada bersemuka kepada kempen melalui atas talian dan pesanan mesej ringkas kepada pengundi-pengundi yang berada di rumah.

Hasil daripada pemerhatian kepada pelaksanaan pilihan raya dari kaedah berkempen sehingga proses pengundian di Korea Selatan, amalan di sana boleh dirumuskan sebagai ketat dan tegas.

Perbandingan dengan amalan pilihan raya kita khususnya kaedah kempen di Sabah, tidak boleh kita nafikan, longgar.

Barangkali disebabkan perbezaan amalan pilihan raya ini, menjadi sebab utama gelombang ketiga yang bermula di Sabah berlaku dan kita hari ini masih mengalami kes harian Covid-19 pada kadar ribuan kes sehari.

Perbandingan prestasi pengurusan wabak Covid-19 dengan negara demokrasi yang mempunyai jumlah kes yang jauh lebih rendah daripada negara kita, tidak mungkin kita abaikan.

Taiwan, sebuah negara demokrasi, yang berada paling dekat dengan negara China dan antara negara terawal yang mempunyai kes Covid-19 dari luar iaitu dalam awal Januari 2020, sehingga hari ini mencatatkan jumlah kes yang amat menakjubkan, di mana jumlah kes Taiwan masih di bawah 1000 kes, berbanding kita iaitu 315,000 kes.

Pengalaman Taiwan tentunya lebih berbaloi lagi untuk diteladani kerana pendekatan di sana jauh berbeza daripada kita. Sejak awal tahun 2020, Taiwan tidak melaksanakan sekatan pergerakan seperti Perintah Kawalan Pergerakan di negara kita dan di sana tiada pengumuman darurat yang menggantung fungsi Parlimen Taiwan. Selain langkah pencegahan melalui SOP, Taiwan juga menumpukan kepada pengujian besar-besaran dan pengesanan hubungan rapat yang bersepadu dan meluas.

Sudah tentu setahun pengalaman kita melalui pengurusan wabak Covid-19 di sini dan perbandingan dengan amalan pengurusan wabak di negara demokrasi lain yang lebih baik, teratur, tegas dan saksama, menambahkan pengetahuan dan meluaskan ufuk pemikiran sekaligus menyedarkan bahawa pelaksanaan di negara kita sudah tentu wajar disemak dan diperbaiki secepat mungkin.

Pelaksanaan langkah pengurusan wabak yang serba kekurangan, tidak bersepadu dan membezakan tatacara antara pemerintah dan rakyat, amatlah berbahaya, tidak menyumbang kepada pemulihan yang berkesan dan mengecewakan rakyat yang sedang ditimpa pelbagai tekanan hidup dari sudut ekonomi, pendidikan, kesihatan jiwa, urusan agama dan hak demokratik yang digantung.

Seperti Korea Selatan dan Taiwan, Malaysia juga adalah sebuah negara demokrasi, yang sepatutnya mengutamakan kesejahteraan rakyat, tanpa kompromi akan proses demokrasi, prinsip bebas dan adil.

Sepertimana doa Tunku Abdul Rahman dalam Pemasyhuran Kemerdekaan bahawa negara ini akan kekal menjadi negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat, dengan prinsip kebebasan dan keadilan, yang mengutamakan kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat dan keamanan segala-gala bangsa. 


* Chu Muhammady, jurutera yang sedang belajar tentang demokrasi, ekonomi dan Islam

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen