PENDUDUK di Bangsar tidak perlu bimbang dengan keselamatan mereka kerana bilangan anggota polis cukup untuk memastikan kebajikan dan keselamatan mereka di kawasan berkenaan, kata ketua polis Brickfields Anuar Omar.
Anuar ketika bercakap kepada The Malaysian Insight berkata terdapat anggota polis yang mencukupi di daerah itu yang mana setiap hari terdapat unit rondaan polis di Brickfields.
“Semalam 20 anggora polis bertugas menjalankan rondaan di Bangsar yang mana kejadian itu berlaku.
“Terdapat beberapa pasukan yang dikerah untuk menjaga seluruh Brickfields setiap hari, 24 jam. Polis melakukan rondaan siang dan malam bukan di Bangsar sahaja tetapi di seluruh daerah,” katanya.
Tabah Anuar orang ramai boleh menghubungi polis sekiranya mengesyaki sesuatu yang mencurigakan di kawasan mereka.
“Anggota kami sentiasa ada untuk membantu. Orang awam boleh membuat laporan, hubungi kami atau mereka boleh buat tangkapan,” tambahnya.
Anuar berkata demikian ketika mengulas insiden bunuh yang berlaku pada awal pagi semalam.
Seorang lelaki berusia 28 tahun ditikam dan lehernya dikelar dalam pergaduhan di luar sebuah pub di Jalan Telawi.
Video pergaduhan itu tular, menunjukkan seorang remaja tidak memakai baju diserang oleh sekumpulan lelaki, dan cuba mempertahankan dirinya dengan helmet. Satu lagi rakaman menunjukkan seorang individu cuba membantu seorang remaja yang cedera.
Penasihat Persatuan Penduduk Buit Bandaraya Mumtaz Ali berkata penduduk di kawasan berkenaan terganggu dan bimbang dengan insiden itu.
Menurutnya insiden berkenaan sangat mengganggu dan penduduk bimbang jika mereka menjadi mangsa tindak balas serangan itu.
“Esok, keluarga bersama anak-anak, mungkin boleh terperangkap dalam insiden itu.
“Mereka mungkin tidak terlibat namun boleh terperangkap di tengah-tengah insiden sebegitu,” katanya.
Sementara itu, Anuar berkata polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun berkaitan insiden berkenaan.
Anuar dalam satu kenyataan berkata Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) dari ibu pejabat polis Kuala Lumpur menahan suspek kira-kira 3.30 petang semalam di Batu Caves.
Tambahnya suspek kemudian membawa penyiasat ke rumah suspek lain. Namun, tiada tangkapan dibuat.
“Kami percaya mereka menyembunyikan diri tetapi polis akan terus menjejaki mereka,” katanya. – 14 Mac, 2021.
Komen