Di India, seorang bekas tentera bunuh 6 orang dalam sejam


Semua jenayah itu dilakukan di kawasan berbeza dalam pekan Palwal, kira-kira 80 kilometer dari Delhi, antara pukul 2.30 pagi dan 3.30 pagi (waktu tempatan) pagi Selasa, kata polis. – Gambar AFP, 2 Januari, 2018.

POLIS India pada Selasa menahan seorang bekas pegawai tentera kerana didakwa membunuh enam orang hanya dalam tempoh sejam di negeri Haryana yang terletak di bahagian utara, lapor agensi berita China Xinhua.

Semua jenayah itu dilakukan di kawasan berbeza dalam pekan Palwal, kira-kira 80 kilometer dari Delhi, antara pukul 2.30 pagi dan 3.30 pagi (waktu tempatan) pagi Selasa, kata polis.

“Kami telah menahan Naresh Dhankad, seorang bekas leftenan Angkatan Tentera India, selepas dia melakukan pembunuhan itu secara rambang menggunakan sebatang besi. Kami telah menemui senjata pembunuhan,” kata seorang pegawai kanan polis.

Penahanan itu dibuat selepas perbuatan Dhankad dirakam oleh CCTV.

“Mangsa pertamanya ialah seorang wanita berusia 35 tahun di sebuah hospital tempatan, di mana mangsa menghantar saudaranya. Rakaman CCTV hospital inilah yang telah membantu kami mengenal pasti suspek,” katanya.

“Selepas melakukan pembunuhan pertama, Dhankad membunuh empat lagi mangsa di antara Jalan Agra dan Minar Gate Palwal. Mangsa terakhirnya adalah seorang pengawal keselamatan,” kata pegawai polis itu.

Polis berkata Dhankad, yang bertugas di Jabatan Pertanian Haryana selepas bersara dari Angkatan Tentera India, telah dimasukkan ke sebuah hospital selepas dia diberkas di sebuah kawasan yang sunyi dan terbiar.

“Kami hanya ingin tahu keadaan mentalnya kerana setakat ini, kami gagal mencari punca yang menyebabkan dia melakukan pembunuhan rambang itu,” katanya. – Bernama, 2 Januari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen