Lebih ramai ahli Parlimen akan keluar PKR, kata penganalisis


Raevathi Supramaniam Diyana Ibrahim

LEBIH ramai ahli Parlimen PKR dijangka akan keluar parti untuk menyokong Perikatan Nasional, menurut beberapa penganalisis politik.

Salah seorang daripadanya, Oh Ei Sun berpendapat, hanya kesetiaan kepada presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi satu-satunya faktor yang mengekalkan ahli parti itu.

“PKR dikenali parti yang terbuka menerima pelbagai corak ahli politik dengan ideologi dan kepentingan yang berbeza, dan hanya kesetiaan kepada Anwar sebagai faktor pengikat,” katanya.

Jelasnya, pendirian seperti itu berbeza bagi ahli politik yang lama atau veteran dalam PKR dan tekanan ekonomi pada waktu ini juga mungkin mendorong untuk mengubah haluan politik.

“Mereka berasa kepentingan mereka bukan lagi untuk kesetiaan kepada parti atau Anwar, atau berkhidmat dengan baik sementara menyesuaikan diri dengan sisi politik yang lain.

“Dalam waktu ekonomi yang mencabar juga menjadi faktor mendorong untuk menukar sokongan kepada pihak yang mempunyai kelebihan samanada dari segi kepentingan politik atau sebagainya.”

Oh juga melihat PKR sejak awal merupakan satu gerakan untuk menuntut keadilan dan menentang rasuah, dan bukannya sebagai sebuah parti.

“PKR tidak pernah menjadi kuat hanya bergantung mengikut sekali gelombang pengundi yang menolak Barisan Nasional semasa Pilihan Raya Umum 2018 membolehkannya menang sejumlah besar kerusi Parlimen.

“Sebaik momentum itu hilang amat sukar untuk menyatukan teras parti tersebut,” katanya.

Pada masa sama Oh turut menjangka sokongan ditunjukkan ahli Parlimen yang berpaling tadah untuk menyokong pentadbiran Muhyiddin Yassin hanya bersifat sementara.

“Sudah pasti PN akan bertambah kuat kerana pembelot atau pengkhianat ini menyatakan sokongan setia ke atas kerajaan hari ini.

“Tapi adakah mereka ini akan mempertahankan kerusi mereka dalam pilihan raya akan datang? Itu perkara lain,” katanya.

Terkini, Naib Presiden PKR Xavier Jayakumar mengumumkan keluar parti dan menyokong kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Xavier mendakwa kecewa kerana pembangkang tidak membantu kerajaan menangani pandemik Covid-19 dan sebaliknya terus mendesak pilihan raya diadakan.

Dua lagi ahli Parlimen PKR, Larry Sng (Julau) dan Steven Chong (Tebrau) mengambil tindakan sama pada minggu lepas.

Ia menjadikan jumlah 13 ahli Parlimen PKR keluar dari parti selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan tahun lepas.

Seramai 10 orang daripadanya terdiri daripada pengikut bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali, yang kini dilantik ke jawatan kanan dalam pentadbiran Muhyiddin.

Mengulas perkembangan itu, seorang lagi penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi berkata tindakan ahli Parlimen PKR yang keluar parti bukan perkara yang mengejutkan atau baharu.

Pensyarah Universiti Malaya itu berkata tindakan itu sebenarnya sudah dijangka dan akan berlaku pada masa sesuai mengikut fasa dan keperluan politik semasa.

Ia turut bergantung kepada ketahanan berdepan tekanan seperti siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), katanya.

“Memang terdapat saki baki orang-orang yang rapat dengan Azmin termasuk ahli Parlimen dan DUN. Namun bergantung sejauh mana ketahanan mereka sebagai ahli pembangkang berprinsip ini akan menentukan tindakan mereka.

“Ini termasuk juga seperti tekanan yang diterima apabila disiasat oleh SPRM atau (LHDN) misalnya boleh mengugat kedudukan mereka sebagai ahli Parlimen pembangkang,” katanya.

Tambahnya, situasi yang berlaku itu juga dapat dianggap sebagai pembersihan dalaman PKR sendiri untuk memastikan hanya yang setia, tahan uji sahaja mampu mendukung perjuangan parti.

Malah, tindakan wakil rakyat keluar parti ini juga akan membuka laluan kepada pemimpin muda dalam PKR untuk ambil alih dan memainkan peranan proaktif dalam parti. 

“Malah ini membuka peluang PKR menang lebih banyak kerusi pada PRU akan datang,” katanya lagi.

Jelasnya ini akan berlaku apabila muncul muka baharu yang akan dapat mengubah kemarahan dan persepsi orang ramai ke atas PKR.

“... (Ini kerana) sebelum ini pemimpin mereka banyak dikaitkan dengan kartel politik yang melawan kepimpinan Anwar ibrahim,” katanya.

Ahli Parlimen yang umum keluar PKR

1. Mohamad Azmin Ali, Gombak

Pada 24 Februari 2020, Azmin mengumumkan bahawa dia keluar dari PKR dan akan meninggalkan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan seterusnya pada Ogos menjadi anggota Bersatu.

Beliau seterusnya dipecat kerana “pengkhianatan” terhadap prinsip parti dan menyebabkan ketidakstabilan PH.

Azmin berperanan dalam langkah Sheraton yang menyebabkan kejatuhan PH berikutan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Beliau memegang jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam pemerintahan Nasional Perikatan (PN) yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin.

2. Zuraida Kamaruddin, Ampang

Zuraida keluar dari PKR pada hari yang sama dengan Azmin Ali. Beliau juga dipecat oleh PKR sebagai naib presiden parti kerana peranannya dalam Langkah Sheraton.

Beliau adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah pemerintahan PH dan telah memegang peranan menteri yang sama dalam PN.

Beliau menyertai Bersatu setelah keluar PKR.

3. Saifuddin Abdullah, Indera Mahkota

Menteri Luar Negeri itu keluar PKR berikutan pemecatan  Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin pada 24 Februari.

Saifuddin kemudiannya menyertai Bersatu dan kini menjadi ketua Bersatu Pahang. Pada bulan Januari, beliau dilantik sebagai ketua Perikatan Nasional Pahang.

Saifuddin kini memegang portfolio Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam kabinet PN.

4. Baru Bian, Selangau

Ahli Parlimen Selangau yang juga mantan menteri kerja PH itu keluar PKR setelah Azmin dan Zuraidah dipecat dari parti itu.

Beliau kemudian bergabung dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang bersekutu dengan PH.

Menurutnya, keputusan bergabung dengan PSB dan bukannya membentuk parti politik baru kerana kekangan waktu mendaftarkan parti baru sebelum pilihan raya negeri akan datang, yang dijadualkan pada pertengahan 2021.

5. Kamarudin Jaffar, Bandar Tun Razak

Kamarudin keluar PKR mengikut Azmin menyertai Perikatan Nasional. Beliau bersama 10 anggota PKR yang lain digelar sebagai pengkhianat kerana menyebabkan kerajaan PH tumbang.

Anggota parlimen Bandar Tun Razak sejak itu bergabung dengan Bersatu dan memegang jawatan Timbalan Menteri Luar Negeri di PN.

6. Mansor Othman, Nibong Tebal

Beliau keluar parti susulan pemecatan Azmin dari PKR. Beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan menjadi ahli bersekutu Bersatu.

7. Mohd Rashid Hasnon, Batu Pahat

Ahli parlimen Batu Pahat itu keluar dari PKR pada Mac tahun lalu untuk menyokong kerajaan PN Muhyiddin.

Menurutnya, keputusan untuk keluar PKR demi kepentingan kawasannya kerana tidak mahu melihat rakyat Batu Pahat menjadi mangsa polemik politik.

Beliau kini merupakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

8- Santhara Kumar, Segamat

Santhara Kumar kini dilantik Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan. Beliau antara  kumpulan 11 ahli Parlimen yang keluar PKR semasa Langkah Sheraton. Santhara juga menyertai Bersatu

9. Ali Biju, Saratok

Ali Biju merupakan bekas naib presiden PKR yang dilantik presiden parti, Anwar Ibrahim dalam majlis kepimpinan pusatnya pada 2018 hingga 2021. Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli juga antara 11 kumpulan ahli Parlimen yang keluar PKR semasa Langkah Sheraton.

10. Willie Mongin, Puncak Borneo

Beliau dilantik menjadi Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi selepas keluar PKR bersama 10 yang lain dan membentuk blok bebas dalam Parlimen. Beliau kemudiannya menyertai Bersatu.

11- Jonanthan Yasin, Ranau 
Beliau kini dilantik menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri. Jonathan menyertai Bersatu pada 11 Mac selepas keluar parti bersama 10 pengikut Azmin. 

12- Larry Sng, Julau 
Ahli Parlimen Julau Larry Sng mengumumkan keluar dari PKR pada 28 Februari lepas menjadi ahli Parlimen bebas dan mengumumkan sokongan kerajaan Perikatan Nasional.

13. Steven Choong, Tebrau

Beliau mengumumkan menjadi ahli Parlimen bebas yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional. 

14. Xavier Jayakumar, Kuala Langat

Beliau ahli Parlimen PKR yang terbaharu mengumumkan keluar dari parti itu dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional. Sejak menyertai PKR pada 1998, beliau berjaya memenangi jawatan naib presiden parti dalam pemilihan 2018.

Ia merupakan pemilihan paling buruk yang menjadi titik tolak kepada perpecahan dalam PKR, dan membawa kepada keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan yang disertai parti itu. – 14 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen