LEBIH RM50 juta kerugian dicatatkan akibat kegiatan jenayah siber di negeri ini sepanjang tahun lepas, kata Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat.
Beliau berkata penipuan siber berlaku membabitkan golongan wanita yang terpengaruh dengan tawaran menarik seperti menerima barang kemas selain menerima ugutan hutang atau terlibat aktiviti jenayah.
“Wanita sering menjadi sasaran melibatkan penipuan ‘love scam’. Selain itu, penipuan siber ini turut melibatkan individu yang menerima ugutan dan tuduhan tidak membayar hutang atau didakwa terlibat dengan kes jenayah,” katanya selepas Majlis Kunjungan Mahabbah di Masjid Mukim Permatang Sungkai, di Pasir Puteh hari ini.
Justeru, Shafien menasihati mereka yang menerima ugutan siber supaya tidak gusar dan takut, sebaliknya segera membuat aduan atau menyemak dengan pihak polis mengenai kesahihan dakwaan itu.
Pada majlis tersebut, beliau menyampaikan bantuan bakul makanan kepada 30 golongan asnaf bagi meringankan beban mereka yang terkesan dalam tempoh pandemik Covid-19.– Bernama, 12 Mac, 2021.
Komen