Gerakan akur jika tidak diberi kerusi pada PRU15, kata presiden parti


Khoo Gek San

Presiden Gerakan Dominic Lau berkata tiada gunanya menuntut kerusi untuk bertanding namun tidak memenanginya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2021.

AHLI Perikatan Nasional (PN) baharu, Gerakan akur jika tidak diberikan sebarang kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata presidennya Dominic Lau.

Malah, ia akan menggerakkan seluruh ahli parti untuk membantu PN memenangi pilihan raya, kata Lau kepada The Malaysian Insight.

Bersikap realistik mengenai peluang bekas parti dalam Barisan Nasional (BN) itu, Lau berkata tidak ada gunanya jika menuntut kerusi namun tidak memenanginya.

“Jika parti minta untuk bertanding di 100 kerusi namun akhirnya kalah semua, apa gunanya?

“Parti yang ada peluang untuk menang akan bertanding; ia sama seperti menggunakan separuh sumber untuk mencapai keputusan yang sama,” katanya.

Lau berkata beliau menjangkakan PN akan meletakkan calon Bersatu atau PAS di kerusi majoriti Melayu, manakala calon Gerakan mungkin akan diletakkan di kerusi yang mempunyai peratusan pengundi Cina dan India yang tinggi.

Ketika bersama BN, Gerakan secara tradisinya diberikan 12 kerusi Parlimen dan 33 kerusi negeri untuk ditandingi.

Dalam PRU13 pada 2013, parti itu hanya mampu memenangi satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi negeri.

Pada PRU14 pada 2018, parti itu gagal memenangi sebarang kerusi.

Pilihan raya ini juga menyaksikan kekalahan BN selepas enam dekad berkuasa dan memberi peluang kepada pembangkang buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia.

Lau berkata, Gerakan yang menyertai PN bulan lalu, tidak membuat permintaan mana-mana kerusi daripada pucuk pimpinan PN.

Beliau berkata PN masih belum memulakan agihan kerusi dalam kalangan komponennya, iaitu selain Gerakan adalah Bersatu, PAS, STAR dan Parti Progresif Sabah.

Umno yang menyokong kerajaan PN sehingga pilihan raya bagaimanapun tidak menyertai gabungan itu. – 13 Mac, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen