SEJUMLAH 26 anggota militan termasuk tujuh warga asing telah disahkan terbunuh selepas pesawat dron menyasarkan kubu kumpulan Daesh dalam daerah Darzab di utara wilayah Jawzjan, Afghanistan pada Selasa, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Ketua Polis Wilayah Faqir Mohammad Jawzjani.
“Bertindak atas laporan risikan, pasukan keselamatan melakukan serangan dron terhadap pemberontak IS (Daesh) di daerah Darzab awal pagi ini yang menyaksikan 26 orang terbunuh, termasuk tujuh warga asing, di tempat kejadian,” kata Jawzjani kepada Xinhua.
Kira-Kira 20 lagi pemberontak cedera dalam serangan itu, katanya.
Tanpa mendedahkan kewarganegaraan mereka, pegawai itu berkata terdapat warga asing dari beberapa negara sedang berjuang bersama-sama kumpulan militan Daesh di Darzab.
Bagaimanapun, beliau berkata satu siasatan telah dimulakan berhubung perkara itu.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Afghanistan telah mengesahkan bahawa lima komander Daesh, termasuk Raes Ghani dan Agha Rahim yang terkenal, merupakan antara mereka yang terkorban dalam serangan udara tersebut. – Bernama, 2 Januari, 2018.
Komen