JUMLAH kematian akibat kemalangan jalan raya semasa “Tujuh Hari Maut” Thailand bermula 28 Disember, ketika ramai rakyat Thai keluar memenuhi jalan raya untuk cuti Tahun Baharu telah meningkat ke 317 orang setakat semalam.
Dengan baki dua hari lagi sebelum tamat tempoh maut itu sehingga esok (3 Januari), bilangan kemalangan maut menunjukkan penambahbaikan dengan sedikit penurunan 13.6% berbanding tempoh sama tahun lepas.
Menurut Pusat Arahan Keselamatan Jalan Raya, sejumlah 3,056 kemalangan jalan raya melibatkan 3,188 kecederaan berlaku dari 28 Disember hingga 1 Januari, dengan kebanyakan kemalangan melibatkan motosikal (82%) dan trak pikap (5%).
Pusat itu menyatakan penyebab utama kehilangan nyawa dalam kemalangan jalan raya tahun ini ialah pemanduan mabuk (47%), diikuti pemanduan laju (26%).
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meletakkan Thailand di kedudukan nombor dua di belakang Libya dalam ranking 180 negara paling banyak kematian di jalan raya. – Bernama, 2 Januari, 2018.
Komen