Pakatan perlu buktikan agenda perubahan, angkat pemimpin muda


SELAMAT Tahun Baru 2018. Tahun ini bukan tahun biasa. Ia tahun pilihan raya. Pilihan raya pasti akan berlaku tahun ini kerana tempoh kerajaan hari ini akan tamat. Melainkan pemerintah hari ini sudah betul-betul gila dan terdesak hingga mengambil jalan gila tidak mengadakan pilihan raya.

2018 suhu politik akan meningkat. Perbualan politik semakin membahang. Fitnah berleluasa. Maki hamun bertaburan. Saman menyaman menjadi-jadi. Namun semuanya ini lumrah dan fenomena biasa menjelang pilihan raya.

Ada satu fenomena luar biasa sedang berlaku menjelang pilihan raya kali ini. Suasana di mana rakyat dan pengundi semakin tidak bermaya semakin dekat pilihan raya. Rata-rata mereka menyuarakan rasa muak dengan politik hari ini. Mereka kecewa dan menyampah bukan sahaja dengan pihak sebelah sini atau sana. Mereka menyampah dengan kedua-duanya!

Ini bukan fenomena biasa. Biasanya pengundi dan rakyat akan menyokong atau tidak. Menyokong salah satu daripada dua pihak. Kali ini kelihatannya mereka tidak menyokong kedua-duanya. Mereka seperti keliru, disillusioned dengan apa yang berlaku. Penganalisis politik mendapati kelompok ini semakin membesar. Fenomena ini bahaya buat negara.

Ini adalah krisis keyakinan. Hilang keyakinan kepada kepimpinan. Rakyat memang jelas sudah hilang keyakinan kepada Perdana Menteri Najib Razak dan Barisan Nasional (BN). Tetapi dalam masa yang sama, rakyat juga kelihatan masih belum dapat mengalihkan atau menggantikan keyakinan itu kepada pihak lain selain daripada Najib dan BN.

Kita tersimpul dalam satu kekusutan politik. Ianya mesti dileraikan. After all politics is about gaining confidence. Politik adalah soal keyakinan terhadap satu kepimpinan. Soalnya sekarang tidak ada satupun kepimpinan yang diyakini rakyat.

Najib memang sudah hilang kepercayaan rakyat. Skandal demi skandal berlingkaran dan melilitnya. Keaadan ekonomi pula semakin merudum. Rakyat melarat. Pasukan menterinya pula menari songsang, berpencak tempang.

Semakin hari semakin banyak kenyataan bodoh. Tiada jalan untuk beliau meraih sokongan dan keyakinan lagi. The downfall is complete.

Pembangkang pula masih terkial-kial meraih keyakinan. Keyakinan rakyat yang hilang kepada Najib tidak beralih kepada mereka. Inilah kekusutannya. Pembangkang juga tidak diyakini. Cuma mereka belum lagi di hujung jalan seperti Najib dan pasukannya. Pembangkang masih boleh meraih keyakinan rakyat. Syaratnya mereka harus jujur dan berani meleraikan kekusutan ini.

Apabila saat memilih semakin hampir perkara. pokok bagi pengundi adalah pentadbiran baru. Bukan lagi soal keburukan pentadbiran sedia ada. Soalnya ialah apakah kebaikan dan keupayaan pentadbiran baru?

Dan dalam konteks politik Malaysia, rakyat mahu tahu siapa mereka. Siapa sosok-sosok yang akan memimpin pentadbiran baru. Ini penting untuk meraih keyakinan rakyat.

Pakatan Harapan (PH) dilihat masih kusut dalam soal ini. Sosok yang memimpin tidak jelas. Malah masih berkisar kepada tokoh-tokoh lama. Benar mereka adalah sosok hebat, berjasa dan teruji. Tetapi dalam masa yang sama, mereka membawa bersama mereka cerita dan kisah lalu. Masalah lampau. Di sinilah kekusutannya dan inilah yang perlu dileraikan.

Agenda pembaharuan perlu dilihat dibawa dan dijulang oleh muka-muka baharu dan muda. PH punya ramai sosok-sosok muda yang mampu menjulang perubahan dan tahan serangan. Mereka sudah siap menjadi panglima perang dan mengurus kejayaan.

Justeru, tokoh-tokoh besar seperti Dr Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Muhyiddin Yassin, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang wajar memberi laluan lepada tokoh-tokoh muda seperti Azmin Ali, Mukhriz Mahathir, Nurul Izzah Anwar, Salahuddin Ayud dan lain-lain menggalas tanggungjawab mengepalai pertempuran.

Dalam sejarah silam terlalu banyak kisah dan teladan panglima-panglima muda diberi kesempatan seperti ini oleh tokoh-tokoh besar sebelum mereka.

Tokoh-tokoh besar kekal aktif di dalam perjuangan. Negara masih memerlukan kepakaran dan pengalaman mereka. Mereka boleh menjadi penasihat atau membentuk the council of the elders untuk meniupkan semangat perjuangan semasa pertempuran dan membantu mengurus kejayaan selepas kemenangan.

Memberikan kepercayaan kepada tokoh-tokoh muda untuk mengepalai perjuangan juga akan mempamerkan roh perjuangan PH yang berani berubah.

Ini penting dalam memberi mesej jelas kepada golongan muda negara yang mahukan perubahan bahawa PH benar-benar gagasan perubahan. PH juga semestinya lebih berani menamakan Azmin sebagai perdana menteri, Mukhriz sebagai timbalan perdana menteri bersama-sama Nurul Izzah dan beberapa tokoh muda lain untuk membina pasukan mantap di Putrajaya.

Berubah bukan asal berubah. Ianya harus mempunyai asas kukuh. Meletakkan Azmin sebagai PM ada asasnya.

Beliau berjaya mentadbir Selangor dengan cemerlang hanya dalam tempoh 3 tahun diberi amanah. Rekod pencapaian ekonomi negeri di bawah pimpinan Azmin luar biasa. Ini faktor terpenting untuk mengemudi Putrajaya yang sedang dalam kemelut ekonomi. Beliau juga banyak pengalaman persekutuan di dalam kementerian-kementerian penting dan strategik seperti pendidikan, kewangan dan Jabatan Perdana Menteri semasa menjadi orang kanan Anwar.

Kemampuan Azmin bertempur tidak boleh dinafikan sesiapa. Selain keluarga Anwar, keluarga Azmin yang paling hebat berdepan ujian dan mehnah perjuangan. Ketokohan Azmin juga terserlah dalam kematangan beliau menjaga hubungan dengan Istana, satu entiti politik negara.

Muhkriz juga mempunyai kemampuan dan keupayaan serta pengalaman unik dalam pentadbiran negeri dan negara. Semasa memimpin Kedah, beliau berjaya mendapat sokongan anak muda. Pengalaman dan rekod di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) juga satu aset penting. Paling unik sebagai anak seorang PM paling lama dan berjaya dalam sejarah negara, Mukhriz tentu berguna buat masa depan negara.

Nurul Izzah juga punya rekod cemerlang walaupun masih muda. Beliau berjaya menewaskan dua tokoh besar Umno dalam dua pilihan raya. Kedua-dua mereka adalah menteri persekutuan semasa ditewaskan Nurul Izzah. Beliau melalui proses perjuangan reformasi sejak awal dan berada di kedudukan paling strategik sebagai anak Anwar yang dipenjarakan dan Wan Azizah yang mengepalai pertempuran dan perjuangan dari awal.

Terlalu banyak pengalaman unik dan berharga yang dikutip Nurul Izzah. Hari ini tiada siapa dapat nafikan beliau di barisan paling depan dalam kalangan pemimpin muda generasinya. Beliau mampu membina keyakinan anak muda untuk menuju Putrajaya baru.

PH juga mempunyai tokoh-tokoh lain yang mampu membentuk pasukan yang kuat dalam pentadbiran baru. Saifuddin Abdullah, seorang bekas timbalan menteri yang paling berjaya dalam BN dan dihormati kawan dan lawan ketika itu. Saifuddin Nasution pula mempunyai pengalaman di beberapa kementerian penting semasa dalam Umno dan sekarang orang penting dalam pentadbiran Pulau Pinang, sebuah negeri yang berjaya.

Makanya, tumpuan mulai sekarang adalah untuk memperkenalkan kepada rakyat tokoh-tokoh muda PH ini dan saya percaya dengan sokongan tokoh-tokoh besar seperti Dr Mahathir, Anwar dan lain-lain, mereka mampu meraih keyakinan rakyat yang diperlukan untuk membentuk gelombang baru perubahan, membina keyakinan dan meleraikan kekusutan selama ini.

Tentunya tokoh-tokoh muda bukan Melayu mesti ditampilkan bersama dan PH tidak ketandusan tokoh-tokoh berpotensi bukan Melayu. Cuma dalam tulisan ini saya hanya tumpukan kepada kepimpinan Melayu kerana mereka seharusnya menjadi teras kepimpinan bangsa. Apatah lagi, krisis keyakinan kepimpinan hari ini adalah krisis kepimpinan Melayu.

Saya tidak mewakili diri saya sendiri. Ia bukan pandangan peribadi saya. Ia pandangan dan harapan malah kepercayaan ramai yang lain, yang meminta saya nyatakan pandangan ini bagi pihak mereka. Mereka ada keterbatasan, mempunyai posisi parti dan kepentingan parti manakala saya tidak. Makanya, saya diminta tampil.

Sekiranya idea ini diterima baik dan dipuji, ia bukan milik saya sendiri. Namun saya ambil tanggungjawab sepenuhnya di atas setiap kekurangan dan kritikan terhadapnya.

Niat saya hanya untuk pastikan negara ini berhenti daripada dipimpin oleh satu kepimpinan yang dikuasai oleh daya dan budaya rasuah atau bahasa modennya, kleptokrat.

Selamat tahun baru dan selamat membina kepimpinan baru untuk melakukan pembaharuan demi negara kita yang tercinta. – 2 Januari, 2018.

*Mohamad Ezam Mohd Nor adalah bekas senator.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kalau gagal dalam ujian macam mane nak bagi tuu..betulkan niat pasti berjaya..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Jayborn87 Bornnotbond · Ulasan