ORDINAN berita palsu yang berkuatkuasa hari ini bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat, kata Khalid Samad.
Bekas menteri Wilayah Persektuan itu berkata ordinan tersebut akan membawa kesan buruk dan bercanggah dengan Perlembagaan.
“Ia mesti dibahas di Parlimen sebelum diluluskan, tetapi proklamasi darurat memberi kerajaan kuasa untuk meluluskan undang-undang tanpa melalui Parlimen.
“Oleh itu, kerajaan boleh luluskan sesuka hati,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut Khalid ini salah satu sebab mengapa perintah darurat yang berkuatkuasa 12 Februari hingga 1 Ogos perlu ditamatkan.
“Ia mesti ditamatkan supaya Malaysia tidak diperintah oleh kerajaan autokratik tanpa semak dan imbang,” katanya.
Akta Antiberita Tidak Benar 2018 diwartakan semasa pentadbiran Barisan Nasional tetapi dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada Oktober 2019.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali pada sidang media sama juga bersetuju dengan Khalid, berkata ordinan berita palsu bertujuan untuk menyekat kebebasan bersuara.
Katanya, ordinan itu dikuatkuasakan supaya setiap keputusan kerajaan tidak dipersoal, terutamanya berkaitan darurat.
“Mengikut undang-undang, ordinan ini akan membawa implikasi besar kepada hak kebebasan bersuara yang dijamin bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Ia mesti dicabar di mahkamah kerana ia menyekat hak rakyat untuk bebas bersuara,” kata Muhammad Rafique.

Di bawah Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021, “sebarang proses penghasilan berita tidak benar, sehingga menimbulkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam, jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebih RM100,000, atau denda tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Ordinan juga terpakai kepada semua individu tanpa mengira kewarganegaraan dan walaupun kesalahan dibuat di luar Malaysia.
Mengikut ordinan itu, berita palsu ditafsirkan sebagai “apa-apa berita, maklumat, data dan laporan keseluruhan atau sebahagiannya palsu yang berhubungan dengan Covid-19 atau proklamasi darurat sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.”
Ordinan juga memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan berita palsu itu dipadamkan dan sekiranya gagal berbuat demikian, mahkamah boleh mengarahkan polis atau pihak berkuasa untuk mengambil langkah-langkah perlu.
Mahkamah juga boleh memerintahkan orang yang disabitkan bersalah membuat permohonan maaf kepada orang yang terjejas dan jika tidak mematuhi perintah, boleh disabitkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan berterusan, pesalah akan dikenakan denda tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan. – 12 Mac, 2021.
Komen