Ahli Parlimen tubuh jawatankuasa tamatkan darurat


Raevathi Supramaniam

Sebahagian ahli Jawatankuasa Tamat Darurat yang hadir semasa sidang media di Kampung Baru, Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 Mac, 2021.

BEBERAPA ahli Parlimen menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang merayu Yang di-Pertuan Agong menamatkan perintah darurat.

Dikenali sebagai “Jawatankuasa Tamat Darurat”, kumpulan yang dianggotai 23 orang ini diketuai oleh Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.

Menurut Khalid, jawatankuasa itu tidak terikat dengan mana-mana parti politik, walaupun ahli jawatankuasa itu terdiri daripada ahli politik.

“Kami bertindak sebagai individu dalam parti kami sendiri. Kami terbuka bekerjasama dengan mana-mana ahli politik, bahkan daripada Barisan Nasional selagi tujuannya adalah untuk mengakhiri darurat,” kata Khalid.

Ahli politik yang berada dalam jawatankuasa itu adalah bekas ahli Parlimen Batu Tian Chua, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, Khairuddin Abu Hassan, antara lainnya.

Petisyen yang dibentuk oleh jawatankuasa ini sedang berjalan dengan tujuan untuk mengumpulkan sebanyak mungkin tandatangan rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat, dan pelbagai bangsa serta agama.

“Kami sudah mengumpulkan beberapa ratus tandatangan individu dan lebih 100 kumpulan masyarakat awam,” katanya.

Jawatankuasa ini juga melancarkan laman web, #tamatdarurat.com, untuk mempermudahkan prosesnya.

“Mereka yang ingin darurat ditamatkan, boleh melayari laman web dan melakukan apa yang perlu.

“Jawatankuasa ini bertujuan mengumpulkan sebanyak mungkin tandatangan sebelum diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong,” kata Khalid.

Bekas menteri Wilayah Persekutuan itu berkata Agong harus diberitahu mengenai keinginan rakyat untuk mengakhiri perintah darurat.

Jawatankuasa itu merancang menyerahkan petisyen itu kepada Agong sebelum awal Ramadan.

Khalid menggesa rakyat Malaysia menandatangani petisyen di laman web mereka untuk menghentikan darurat agar Malaysia dapat pulih dari segi politik, ekonomi dan sosial.

Beliau menambah, mereka yang menandatangani petisyen itu tidak perlu takut akan kesan daripada mana-mana pihak kerana mereka hanya menyuarakan pendapat yang merupakan hak berdasarkan undang-undang.

Pada 12 Januari, Agong mengisytiharkan darurat di negara ini hingga 1 Ogos untuk mengekang peningkatan jumlah jangkitan Covid-19.

Namun, pengkritik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu merupakan usaha terakhir baginya untuk terus berkuasa selepas dua ahli Parlimen menarik sokongan mereka terhadap Muhyiddin.

Walaupun Muhyiddin sudah memperoleh tambahan dua bekas ahli Parlimen PKR (Tebrau dan Julau), pengkritiknya menganggarkan beliau hanya mempunyai 111 ahli Parlimen yang menyokongnya.

Pada 20 Februari, kerajaan Perikatan Nasional mengumumkan membentuk Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang akan memberi nasihat kepada Agong berhubung bila sepatutnya darurat ditamatkan sebelum tarikh akhir yang dijadualkan pada 1 Ogos.

Bekas ketua hakim Arifin Zakaria dilantik mengetuai jawatankuasa bebas yang dianggotai oleh 19 individu itu. – 12 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen