Kebenaran pelancongan rentas negeri PKPP tepat pada masanya, kata industri


Bernard Saw

Putrajaya membenarkan aktiviti pelancongan domestik antara negeri berstatus PKPP mulai Rabu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2021.

KEBENARAN bagi pelancongan rentas negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) melegakan dan langkah permulaan bagi menghidupkan semula sektor pelancongan domestik, kata pemain industri.

Kerajaan seterusnya diharapkan akan membuka sempadan bagi perjalanan antarabangsa, yang seterusnya akan membolehkan industri pelancongan pulih sepenuhnya.

Putrajaya membenarkan aktiviti pelancongan domestik antara negeri berstatus PKPP mulai Rabu lalu. Aktiviti ini bagaimanapun tidak terpakai kepada individu secara persendirian.

Kebenaran tertakluk kepada penggunaan perkhidmatan agensi pelancongan yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, merangkumi khidmat pengangkutan dan penginapan.

Bagi Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Albert Tan, meskipun bersyarat, kebenaran itu tepat pada masanya. 

Pengumuman Putrajaya itu sudah pasti akan membantu agensi dan pengusaha kenderaan pelancongan tempatan memulihkan perniagaan.

“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini pengusaha bas persiaran hampir tiada pendapatan. Mereka juga terpaksa tangguh bayaran pinjaman.”

Industri pelancongan kini bersiap sedia untuk merancakkan semula perniagaan susulan pengumuman kerajaan pada Selasa.

“Sepanjang setahun lalu tidak banyak aktiviti dalam industri. Jadi, kami hanya mengharapkan vaksin tiba.

“Oleh itu, persiapan untuk kedatangan pelancong asing apabila sempadan dibuka nanti juga sudah dibuat.

“Kita hanya perlu tunggu sehingga lebih ramai orang disuntik vaksin dan kerajaan benarkan mereka yang divaksin melakukan aktiviti pelancongan rentas negeri dan sempadan,” katanya.

Tan berkata secara keseluruhannya industri pelancongan kini berada dalam keadaan bersiap sedia.

Pelancongan domestik  hanya beri manfaat kepada agensi tertentu dan perniagaan berkaitan, kerana hanya dengan pembukaan semula aktiviti pelancongan antarabangsa akan memulihkan industri dengan sepenuhnya.

“Apa yang paling penting ialah lebih cepat program vaksinasi dijalankan, lebih cepat pasaran pelancongan antarabangsa seperti Jepun, China, Taiwan dan Korea Utara dapat dibuka.”

Pengumuman Putrajaya itu sudah pasti akan membantu agensi dan pengusaha kenderaan pelancongan tempatan memulihkan perniagaan, kata MCTA. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2021.

Galak penjawat awam melancong

Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) Uzaidi Udanis ketika dihubungi berharap penjawat awam dapat membantu merancak dan seterusnya memulihkan industri pelancongan.

“Penjawat awat sedia berbelanja lebih untuk melancong jika kita lihat kepada data sebelum pandemik Covid-19 melanda.

“Dan berbanding dengan industri lain, gaji penjawat awam juga tidak terjejas semasa pandemik,” kata Uzaidi.

Tambah beliau, MTC kini mempromosikan industri pelancongan tempatan untuk mengembalikan keyakinan pelancong.

“Lama-kelamaan orang ramai akan menyedari sebenarnya ada banyak tempat pelancongan tempatan yang boleh dilawati, yang saya percaya akan menjadi tumpuan kelak.”

Menurut Uzaidi lagi, operator pelancongan sudah lama bersiap sedia sejak promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 sebelum kemunculan pandemik Covid-19.

“Semua orang bersedia untuk menyambut kedatangan pelancong sehinggalah pandemik melanda. Jadi, kita akan bermula sekali lagi, kali ini dengan harapan industri akan pulih pada tahun ini atau 2022.”

Uzaidi dalma pada itu juga berharap kerajaan dapat membantu memastikan kawasan pelancongan tempatan tidak sesak dan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Beliau menjangkakan orang ramai akan mengambil peluang untuk bercuti berikutan lama terperap di rumah akibat sekatan pergerakan untuk membendung Covid-19.

Orang ramai dan perniagaan bagaimanapun mesti mematuhi SOP supaya PKP tidak dilaksanakan semula.

“Kami amat berhati-hati termasuk memastikan operator mendapatkan sijil perakuan yang berkaitan dalam usaha membendung wabak.

“Sudah tentu kami mengharapkan ramai pelancong yang datang, tetapi pada masa yang sama kami juga mahu SOP dipatuhi untuk mengelak PKP dilaksanakan semula,” kata Uzaidi. – 12 Mac, 2021.     

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen