PEMIMPIN kontroversi Umno Jamal Md Yunos mencadangkan agar BN menampilkan tokoh korporat atau penjawat awam sebagai calon menteri besar demi memenangi hati pengundi dalam pilihan raya umum akan datang.
Ketua Umno Sungai Besar itu berkata, tokoh daripada parti politik kebiasaannya akan dikaitkan dengan imej korup dan rasuah berbanding tokoh korporat dan penjawat awam.
“Calon menteri besar Selangor tidak semestinya orang politik, calon mesti dilihat pengundi (sebagai tokoh) yang boleh membawa kemakmuran dan kesejahteraan masa depan Selangor bagi 50 tahun akan datang.
“Mungkin orang daripada sektor korporat dan juga kakitangan awam yang dilihat telus, amanah, dan berdedikasi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Jamal berkata, individu seperti Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd Wahid Omar dan Ketua Pengarah Imigresen Mustafar Ali dilihat mempunyai kelayakan untuk dilantik sebagai menteri besar Selangor.
“Calon menteri besar BN boleh tokoh daripada penjawat awam, seperti ketua pengarah Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Wahid Omar yang mempunyai prestasi cukup bagus, ini contohnya,” katanya lagi.
Katanya, persepsi golongan umum tidak akan berubah jika BN meletakkan calon daripada tokoh politik seperti amalan sedia ada.
“Calon politik rakyat melihat tidak berbeza seperti Menteri Besar Selangor Azmin Ali yang terpalit korupsi, salah guna kuasa, dan kronisme,” dakwanya.
Langkah itu akan dapat meyakinkan rakyat Selangor untuk kembali menawan Selangor dalam PRU 14 akan datang daripada Pakatan Harapan, katanya.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan Umno menimbangkan tiga nama untuk dipilih menjadi calon menteri besar Selangor sebagai persiapan menawan semula negeri itu daripada pembangkang.
Menurut sumber, mereka adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali Mat Nadzari Ahmad Dahlan, Adun Dengkil Shahrom Mohd Sharif dan Adun Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi, yang juga ahli Parlimen Sungai Besar.
Nama Jamal bagaimanapun tiada disebut dalam perbincangan tersebut. Mengulas perkara itu, Jamal berkata soal jawatan menteri besar itu bukan keutamaan padanya.
“Bagi saya jawatan tak penting, kalau saya utamakan jawatan sudah pasti saya akan bertanding di kerusi selamat di kawasan saya.
“Saya tidak akan bertanding di Parlimen Sungai Besar, saya juga tidak akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang dan Sekinchan,” kata Jamal.
Jamal pada November lalu dilaporkan menawarkan diri untuk bertanding di DUN Bukit Antarabangsa untuk menentang penyandang, yang juga Menteri Besar Selangor Azmin Ali.
Ahli perniagaan tersebut turut menawarkan diri sebagai calon menteri besar Selangor dengan janji untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab lebih baik berbanding Azmin yang menerajui kerajaan negeri PH sekarang. – 2 Januari, 2018.
Komen