Agong berkuasa panggil sidang Parlimen waktu darurat, kata Ku Li


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong Nabihah Hamid

YANG di-Pertuan Agong berkuasa memanggil sidang Parlimen dalam keadaan darurat, kata veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, sepanjang tempoh itu juga, Agong juga tidak memerlukan nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk memanggil Parlimen bersidang.

“Selagi Perlembagaan Persekutuan itu ada dan kita mengamalkan demokrasi berparlimen, Parlimen boleh bersidang.

“Kalau perdana menteri tidak mahu menasihati Agong untuk adakan sidang Parlimen, habislah kita,” kata Tengku Razaleigh dalam wawancara di kediamannya baru-baru ini.

Pengerusi lembaga penasihat Umno itu berkata, Agong juga berkuasa penuh sepanjang tempoh darurat.

“Baginda berkuasa untuk melucut jawatan perdana menteri termasuk jemaah menteri kerana hari ini baginda berkuasa penuh ketika tempoh darurat,” kata ahli Parlimen Gua Musang itu.

Bekas menteri kewangan tersebut menjelaskan kekeliruan yang timbul pada waktu ini mengenai perjalanan sidang Parlimen sewaktu perintah darurat berkuatkuasa.

Pada Januari, Muhyiddin memohon sekali lagi kepada baginda agar mengisytiharkan darurat, dengan alasan mengekang penularan wabak Covid-19.

Banyak pihak menganggap langkah itu bertujuan untuk mengekalkan kedudukan Muhyiddin yang didakwa hilang sokongan majoriti selepas dua wakil rakyat Umno menarik diri dari menyokongnya.

Jumlah sokongan itu berubah semula apabila dua bekas ahli Parlimen PKR masing-masing dari Tebrau dan Julau kemudiannya menyatakan sokongan kepada Muhyiddin, bulan lalu.

Namun jumlah sokongan majoriti itu tetap dipersoalkan Tengku Razaleigh, 83, yang kini merupakan antara pengkritik tegar pentadbiran Muhyiddin.

Katanya, majoriti itu tidak dibuktikan walau Muhyiddin mempersembahkan sokongan pemimpin Umno, GPS, PAS, dan Bersatu sewaktu krisis politik memuncak pada Februari tahun lalu.

Oleh sebab itu, beliau menyokong agar usul untuk undi tidak percaya dikemukakan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad diterima untuk dibahaskan di Dewan selepas itu, katanya.

“Mereka sekadar jumlahkan Umno (43), PAS (18), GPS (18) bersama yang lain lagi kemudian persembahkan kepada Agong.

“Tetapi Muhyiddin tidak pernah diuji untuk membuktikan beliau benar-benar mempunyai 112 sokongan ahli Parlimen walaupun dikatakan ada sokongan daripada 130 orang.

“Saya minta usul undi tidak percaya Dr Mahathir Mohamad di dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat dibahaskan di Parlimen tetapi tidak dibenarkan,” kata Tengku Razaleigh.

Tengku Razaleigh Hamzah berkata Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa penuh sepanjang tempoh darurat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Mac, 2021.

Jelasnya, melalui undian itu Agong akan mengetahui jumlah sebenar sokongan yang diterima Muhyiddin daripada ahli Parlimen dan bukan melalui akuan bersumpah (SD).

“(SD) tak masuk akal. Di dalam Perlembagaan, hanya undian secara fizikal diperlukan di Dewan Rakyat.

“Kalau 112 atau lebih ahli Parlimen sokong, beliau kekal, tapi kurang daripada itu sila keluar,” kata Tengku Razaleigh.

Katanya, undi keyakinan menentukan keabsahan Muhyiddin di Dewan Rakyat amat penting untuk memulihkan ekonomi negara.

Menurutnya pelabur hanya akan mendapat keyakinan untuk melabur dalam negara yang mempunyai kestabilan dalam pentadbirannya.

“Disebabkan kerajaan tak stabil tiada siapa mahu meletakkan pelaburan mereka di sini sehingga mereka benar-benar yakin Malaysia stabil,” katanya.

Pengumuman kerajaan bahawa seluruh persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri digantung menimbulkan kecaman pelbagai pihak.

Susulan itu, Istana Negara pada 24 Februari memaklumkan titah Yang di-Pertuan Agong bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa.

Menurut pengumuman itu, persidangan itu boleh diadakan pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri,

Ia termaktub dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, jelas Istana Negara yang menafikan perintah darurat menghalang parlimen untuk bersidang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan bagaimanapun menegaskan Kabinet berkuasa menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya tidak melaksanakan persidangan Parlimen itu. – 12 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen