PAS macam pelacur, kata Ku Li


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong Nabihah Hamid

UMNO perlu menentang PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang kerana parti Islam itu tidak boleh dipercayai lagi, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Pengerusi lembaga penasihat Umno itu memberitahu The Malaysian Insight, sejak awal penubuhannya PAS tidak pernah berhenti menjadi pengacau kepada parti tersebut.

Beliau malah menggelarkan parti diketuai Hadi Awang itu sebagai “pelacur” kerana tidak ikhlas dalam kerjasama dan hanya mengutamakan kepentingan sendiri.

“Dah lama kita lawan PAS. Bukan baru semalam, tapi sejak 1951, PAS mengacau Umno sejak itu, sampai sekarang, bukan benda baru,” kata veteran Umno itu.

Ahli Parlimen Gua Musang itu menjelaskan, PAS juga tidak boleh dipercayai untuk membantu Umno dalam pilihan raya akan datang kerana parti itu sebahagian daripada Perikatan Nasional.

Wakil rakyat berusia 84 tahun itu berkata, walaupun PAS bersama Umno menubuhkan Muafakat Nasional dua tahun lalu, parti itu tidak ikhlas apabila tiba masa pilihan raya.

Perkara itu dapat dilihat melalui sikap ahli PAS dalam siri pilihan raya kecil ditandingi Umno, selepas kedua-dua parti sudahpun mengadakan kerjasama rasmi dalam Muafakat Nasional.

“Di (pilihan raya kecil) Tanjung Piai, ketika mereka dah bersama dengan kita, PAS tidak mengundi kita, mereka ada 3,000 ahli di Tanjung Piai tapi tidak sampai 1,000 yangundi kita.

“Mereka bukan rakan kongsi yang jujur. Begitu juga di Semenyih. PAS macam pelacur, sekejap (sokong) DAP, sekejap Semangat 46.”

Tengku Razaleigh itu seterusnya menjelaskan Umno kalah kepada PAS di Terengganu sebelum ini disebabkan bekas presiden Najib Razak setuju untuk pertandingan tiga penjuru di negeri itu.

“Kita kalah Terengganu sebab Najib, di saat-saat akhir, tanpa berbincang dengan sesiapa Najib setuju untuk pertandingan tiga penjuru.

“Umno akan tewas kerana bila tiga penjuru kita akan lawan semua orang. Kita hilang lebih banyak kerusi dan PAS menang,” katanya.

Lebih-lebih lagi, penduduk Pantai Timur mudah terpengaruh dengan sentimen keagamaan dibawa PAS, katanya.

Pengerusi lembaga penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata PAS tidak pernah berhenti menjadi pengacau kepada Umno. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Mac, 2021.

“Mereka nampak ada PAS dan mengundi mereka kerana simpati dengan organisasi agama dan macam itulah PAS dapat Terengganu. Di samping kesilapan kecil yang kita buat.”

Beliau juga mengejek cadangan bekerjasama secara “separuh-separuh” dengan PAS dalam pilihan raya umum nanti melalui Muafakat Nasional.

“Kita tak boleh setuju kerana macam mana nak lakukan stategi setuju tiga penjuru di sini tapi satu lawan satu di tempat lain.

“Saya sokong kita lawan PAS (dalam pilihan raya umum akan datang),” katanya.

Namun perkembangan pada waktu ini menjunjukkan Umno tidak lagi akan bekerjasama dengan Bersatu dan PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

Di sebalik pengumuman Umno itu, PAS bagaimanapun tetap mahu mengekalkan hubunhan dengan kedua-dua parti.

PAS dan Umno menubuhkam MN pada 2019, selepas Umno tewas pilihan raya pada 2018. PAS juga antara pengasas yang mendaftar PN bersama Bersatu sebagai entiti politik yang sah.

Namun apa pun, Umno tidak akan memberikan kerusi mereka kepada Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang, kata Tengku Razaleigh.

“Bersatu parti baru, tidak ada pengikut. Di Gua Musang mereka hanya ada empat ke lima orang ahli,” katannya.

Malah pemimpin kanan Bersatu seperti Hamzah Zainuddin dan Mustapa Mohamed juga akan berdepan masalah jika tidak diberi laluan mudah oleh Umno, katanya.

“Hamzah Zainuddin juga tidak ada tempat sebab itu kita beri di Larut kerana dia tidak boleh bertanding di Ipoh.

“Mustapa Mohamed pula kita akan ambil balik kerusi itu. PAS kuat di sana tapi kita pernah kalahkan mereka,” kata Tengku Razaleigh.

Kedua-dua pemimpin itu adalah antara 15 ahli Parlimen yang menang atas tiket Umno dalam pilihan raya lepas.

Namun pemimpin Bersatu berkenaan masih berpeluang dalam pilihan raya akan datang sekiranya mendapat bantuan dari PAS.

“Lawan Bersatu lebih mudah daripada PAS tapi mereka mahu PAS tolong mereka, mereka juga harap Umno pun tolong.

“Kalau Umno tolong mudahlah (bagi Bersatu), tapi saya tak rasa kita akan tolong pengkhianat,” kata Tengku Razaleigh. – 12 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen