PARLIMEN Israel hari ini meluluskan undang-undang yang akan menyulitkan lagi kerajaannya menyerahkan wilayah Baitulmaqdis yang dituntut oleh Palestin mengikut mana-mana perjanjian damai pada masa akan datang, lapor AFP.
Rang undang-undang itu, yang diluluskan dengan undian 64-51, adalah tamparan baru kepada saki baki harapan yang masih ada terhadap penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin ini.
Rang undang-undang itu digubal oleh wakil rakyat dari Parti Jewish Home, sebuah parti Yahudi Ortodoks haluan kanan Zionis.
Ia diluluskan hampir sebulan selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan Washington mengiktiraf kota suci tiga agama itu sebagai ibu negara Israel.
Undang-undang baru itu memperuntukkan penyerahan mana-mana tanah yang dianggap oleh Israel sebagai sebahagian daripada Baitulmaqdis memerlukan persetujuan dua pertiga Parlimen, atau 80 daripada 120 ahli Knesset.
Undang-undang baru itu bagaimanapun boleh dipinda dengan majoriti mudah 61 undi.
Undang-undang itu juga membolehkan penukaran status perbandaran Baitulmaqdis, iaitu menjadikan mana-mana bahagian wilayah itu sebagai entiti yang berbeza.
Israel menduduki bahagian timur Baitulmaqdis dan Tebing Barar pada 1967. Tindakannya kemudian merampas bahagian timur itu tidak pernah diiktiraf oleh dunia.
Israel kini mendakwa seluruh Bailtulmaqdis sebagai ibu negaranya manakala Palestin menuntut bahagian timur sebagai ibu negara.
Baitulmaqdis adalah antara isu yang jadi pertikaian utama dalam konflik Israel-Palestin, selain hak pelarian Palestin untuk kembali ke tanah air.
Sementara itu, parti pembangkang yang disertai empat parti Arab menyifatkan undang-undang baru itu hanya mahu menyekat perdamaian.
“Tanpa satu perjanjian mengenai Baitulmaqdis, tidak akan ada perdamaian,” katanya, seperti dipetik AFP.
“Undang-undang itu bermakna akan ada pertumpahan darah,” kata sebelum sidang Knesset mengundi rang undang-undang tersebut.
Pengumuman Trump pada 6 Disember lepas mengiktiraf bandar itu sebagai ibu negara Israel melanggar konsensus antarabangsa dan mencetuskan bantahan di seluruh dunia Islam.
Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu pada 21 Disember lepas meluluskan usul menolak langkah Washington itu, dengan 128 menyokong, 9 menolak termasuk Amerika dan Israel, sementara 35 negara berkecuali. – Agensi, 2 Januari, 2018
Komen