MASYARAKAT Orang Asli di Kampung Kelaik dan Kampung Cabil di Pos Blau di Gua Musang, Kelantan memfailkan saman terhadap kerajaan negeri bagi menghalang pencerobohan tanah adat mereka sejak 2015.
Messrs Raj and Such yang mewakili 13 Orang Asli dari dua kampung berkenaan memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam.
Peguam Sachpreetraj Sigh Sohanpal ketika ditemui media hari ini berkata tanah adat Orang Asli diceroboh untuk perlombongan, pembalakan serta ladang durian dan kelapa sawit.
“Mereka menceroboh tanah sedikit demi sedikit sehingga lama-kelamaan menjadi besar.
“Penceroboh ini diberi lesen oleh pengarah pejabat tanah dan galian Kelantan serta kerajaan negeri,” katanya.
Kawasan yang diceroboh membabitkan 70-100 ekar, yang menempatkan kira-kira 200 keluarga Kampung Kelaik dan Kampung Cabil.
Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Kelantan, Jabatan Perhutanan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), kerajaan negeri dan semua pihak yang menceroboh dinamakan sebagai defendan dalam tuntutan yang difailkan.
Dalam tuntutan tersebut, Orang Asli memohon pengiktirafan hak tanah adat dan mereka adalah pemilik tanah di sekitar Kampung Kelaik dan Cabil.
Mereka juga memohon mahkamah mengisytihar pemberian lesen kepada penceroboh berkenaan sebagai tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang.
Selain itu, Orang Asli berkenaan memohon mahkamah mengisytihar bahawa tindakan Jabatan Perhutanan, pengarah Jabatan Tanah dan Galian telah bercanggah dengan tanggungjawab fidusiari serta tugas mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Kami memohon tanah yang dipetakan oleh Orang Asli diisytihar sebagai tanah adat mereka.
“Hak mereka sebagai pemegang tanah adat perlu diakui di mahkamah,” kata Sohanpal. – 11 Mac, 2021.
Komen