ORANG ramai kini berpusu-pusu ke kedai emas berikutan harga logam berharga itu jatuh sejak hujung tahun lalu ekoran berita penemuan vaksin Covid-19, menyebabkan kekurangan bekalan, kata peniaga dan pembekal barang kemas.
Persekutuan Tukang Emas dan Persatuan Jauhari Malaysia (FGJAM) memberitahu The Malaysian Insight, situasi ini menyebabkan banyak kedai emas menolak untuk menerima pesanan baharu kerana bimbang menghadapi masalah pengedaran.
“Berdasarkan populariti emas yang mendadak sekarang, pengilang barang kemas tempatan telah diminta untuk meningkatkan pengeluaran,” kata Presiden FGJAM Steven Siow.
“Oleh itu, peniaga mempromosikan barang kemas yang ada di kedai berbanding memesan rekaan baharu kerana bekalan emas ketika ini kurang. Kita bimbang tidak dapat hantar barang kemas ikut jadual.”
Menurut Siow, kekurangan bekalan logam berharga itu juga menyebabkan tukang emas tempatan tidak menjamin dapat memenuhi pesanan.
Harga emas naik tahun lalu ekoran ancaman Covid-19 yang menjejaskan ekonomi seluruh dunia, sekali gus menyebabkan pelabur memilih logam itu sebagai aset selamat.
Harga emas mencecah paras tertinggi dalam sejarah iaitu AS$2,075 (RM8,553) seaun pada Ogos tahun lalu dan beransur-ansur turun seiring dengan perkembangan berita penemuan vaksin Covid-19.
Setakat 9 Mac lalu, harga emas global mencecah sekitar AS$1,700 seaun.
Harga emas dalam pasaran tempatan ketika ini berada pada paras RM240 hingga RM260 segram, kata Siow.
Beliau turut menjangkakan prestasi tahun ke tahun pembekal dan peniaga emas naik 30% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Masalah kekurangan stok ketika ini juga disebabkan tidak banyak barang kemas dikeluarkan pengilang kerana hanya 50% pekerja dibenarkan bekerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Eksport barang kemas juga terjejas akibat PKP, kata Siow.
“Perniagaan emas di Pulau Pinang kebiasaannya meliputi 80% eksport barang kemas Malaysia. Kos eksport meningkat disebabkan sekatan pergerakan dan penuntupan sempadan.”
Jika sebelum pandemik Covid-19 melanda, barang kemas dieksport mengggunakan penerbangan, tetapi kini beralih kepada khidmat kargo semasa sekatan pergerakan. Peralihan kepada perkhidmatan kargo menambah kos insurans dan kos lain.
Kebanyakan pembeli emas adalah Melayu, kata Siow, berbanding masyarakat Cina yang ekoran majlis jamuan, perkahwinan dan acara besar dibatalkan kerana PKP.
Dalam tradisi masyarakat Cina, barangan kemas daripada emas dijadikan hadiah terutama pada majlis perkahwinan. – 12 Mac, 2021.
Komen