Pandemik ajar syarikat berlatih hadapi krisis, kata penasihat risiko


Hailey Chung Wee Kye

Sesebuah syarikat akan lebih baik jika mengadakan latihan berkala atau latihan risiko mengenai proses kerja dan perniagaan mereka, pasca pandemik Covid-19, kata pakar risiko. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2021.

SYARIKAT akan lebih baik bila buat latihan berkala atau latihan risiko mengenai proses kerja dan perniagaan mereka setelah menghadapi pandemik Covid-19, kata pakar risiko.

Latihan risiko bertujuan membantu perniagaan berjaga-jaga dengan krisis di masa hadapan selain memastikan peralihan dan kelangsungan operasi dan proses yang lancar, kata Karthigayan Supramaniam, pengarah eksekutif BDO Governance and Risk Advisory Malaysia.

Latihan risiko boleh dilakukan pada apa jua aspek perniagaan, sama ada IT untuk membolehkan urusan kerja dari rumah, kewangan dan juga pengajaran dalam talian untuk institusi pendidikan.

Karthigayan berkata nasihatnya yang biasa kepada pelanggan adalah memastikan semua proses mereka bersedia untuk menghadapi satu lagi krisis.

Ini termasuk melabur dalam infrastruktur IT yang bagus.

“Adakah proses kamu bersedia menghadapi krisis? Bagaimana kamu tingkatkan keselamatan IT kamu kerana semua orang berkongsi dokumen di luar pejabat?

“Sebilangan besar syarikat Malaysia mempunyai proses cukup baik yang hanya perlu peningkatan untuk hadapi krisis Covid-19.

“Contohnya, bekerja dari rumah. Syarikat harus berlatih setahun sekali mempersiapkan kelangsungan perniagaan dan tahap keselamatan, dan aspek lain,” kata Karthigayan kepada The Malaysian Insight.

Syarikat juga harus menguji kesediaan krisis dari perspektif kewangan, selain keselamatan IT dan proses lain.

“Perubahan itu pasti dan proses mesti bertindak balas terhadap perubahan,” kata Karthigayan, menambah perniagaan telah menyesuaikan diri dengan baik dengan perintah pergerakan di waktu pandemik tahun lalu.

Katanya, beliau menerima banyak permintaan, terutama dari syarikat besar dan tersenarai untuk melakukan laporan audit kesediaan Covid-19.

Darien Mah, ketua dan pengasas Forefront Group berkata syarikatnya berjaya mengatasi krisis Covid-19 berbanding krisis kewangan Asia 2008.

Dalam krisis sebelumnya, Mah berkata agensi kreatif dan pemasarannya hampir tidak ada lagi. Kali ini, mereka lebih tahu dan bersedia.

“Kami sudah memiliki tenaga kerja bergerak sebelum pandemik lagi. Kami beroperasi di beberapa pasaran luar negara yang memerlukan ahli pasukan kami melakukan perjalanan di rantau ini.

“Oleh itu, kerja pendigitan kami yang luas berlaku hanya dua tahun lalu di mana kami menyaksikan penggunaan pengkomputeran awan di seluruh syarikat.

“Berpengalaman dalam pengaturan kerja jarak jauh dengan pejabat satelit kami memang membawa manfaat, kami merasa bersedia ketika seluruh syarikat diminta bekerja dari rumah.” – 11 Mac, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen